Wednesday 4 May 2011

A Man of Parts: Skandal Seks H. G. Wells


Ah, penulis lelaki dengan ramai kekasih. H. G. Wells bukan seorang saja. Lord Byron teman terdekat yang mungkin Wells akan pilih. Kekasih-kekasih yang datang kepada Wells (Rebecca West, Dorothy Richardson, Amber Reeves) mencari cintanya sentiasa berakhir dengan kehamilan. Ernest Hemingway, Henry Miller, dan Isac Babel barangkali akan bertepuk tangan. Namun, ada juga, yang diam tanpa perasaan seolah-olah tidak memahami keseronokkan mereka (Lovecraft, Kafka, Poe). Dan duduk agak jauh, sambil menahan ketawa, memerhatikan semua ini ialah David Lodge; seorang novelis yang membina sebuah fiksyen biogarfi berdasarkan kehidupan - terutama sekali skandal seks - H. G. Wells.

Sebelum ini David Lodge sudah pernah menulis tentang Henry James dalam Author! Author. Lodge ialah antara segelintir novelis dalam tradisi penulisan novel yang mampu mencipta sebuah naratif komedi dengan berkesan. Penulisan komedi memang bukan asing lagi buat orang Inggeris seperti Lodge. Bermula dengan drama Shakespeare, kemudian novel Laurence Sterne dan Henry Fielding, sebelum menemui kemuncaknya di tangan P. G. Woodhouse. Hal yang sama juga boleh dikatakan tentang tradisi penulisan fiksyen biografi. Sekali lagi, ia bermula dengan Shakespeare melalui drama seperti Julius Caesar, Antony and Cleopatra, dan Henry IV. Virginia Woolf kemudian menulis Orlando yang merupakan antara novel terbaik dalam tradisi ini. Di tangan Woolf fakta sejarah lebur menjadi kata-kata puisi. Kerana bagi seorang seniman, sejarah itu tidak wujud. Kebenaran imaginasi ialah fakta baru yang diciptanya. Perkara yang sama kita temui apabila membaca novel Cormac McCarthy Blood Meridian. Atau, yang lebih dekat dengan pengaruh Woolf, novel Oranges Are Not the Only Fruit karya Jeanette Winterson.

Dalam A Man of Parts David Lodge banyak menceritakan, melalui suara omniscient pengarang, tentang hubungan antara Wells dengan Amber Reevs yang kurang diketahui oleh pembaca berbanding hubungan sepuluh tahunnya bersama Rebecca West. Ya, ini ialah novel David Lodge, dan kita sudah tentu mengharapkan sebuah novel komedi yang melucukan. Dan memang ada pun. Tentang ketepatan fakta, ia boleh diabaikan sekejap asalkan ia digantikan dengan panahan naratif yang tajam bagi menyedarkan imaginasi pembaca. Namun, buat Lodge, fakta itu nampaknya lebih penting. Membaca naratif Lodge ialah seperti membaca sebuah wawancara dengan suara tukang wawancara kadang kala lebih lantang dari suara tokoh yang sedang diwawancarakan. Mata seni Lodge itu ialah mata seorang ahli akademik. Dia bukan bermata penyair seperti Virginia Woolf dan A. S. Byatt. Atau Borges sekalipun. Namun, Lodge bukanlah seorang pensyarah yang membosankan. Dia tahu untuk membuat kita, muridnya, ketawa walaupun kadang-kadang kalau boleh kita ingin juga dia membawa kita keluar dari dewan kuliah untuk melihat sendiri kehidupan.