Tuesday 19 April 2016

Membangunkan Kota-Kota Mimpi



Ketika sedang membaca biografi Walter Benjamin baru-baru ini saya membuat satu kesimpulan: Eropah tidak akan dapat melahirkan seorang Borges. Dari segi kegilaan bacaan dan ketajaman akal fikiran, Benjamin dan Borges memang sama-sama hebat. Namun ada satu perbezaan ketara antara mereka berdua: imaginasi. Benjamin boleh membaca Baudelaire, Dostoyevsky, Kafka dengan sangat kritikal sehingga ke tahap dia mampu menterjemahkan idea mereka menjadi idea miliknya dan kita tidak akan perasan. Benjamin berfikir melalui buku yang dibacanya.
 
Borges bukan sekadar berfikir melalui buku seperti Benjamin, dia juga seorang arkitek yang menyusun kata-kata menjadi sebuah kota mimpi. Justeru kita akhirnya membaca Borges bukan untuk mencari ideanya, tetapi kita ingin mencari dan membuka pintu-pintu tersembunyi di tembok kotanya.




Tetapi dalam pembacaan saya, ada banyak kota lain saya telah kunjungi selain daripada kota yang dibina oleh Borges. Ia tidak terbatas kepada buku. Malah kadang-kadang permainan video dan komputer mampu membuka imaginasi kita ke dunia yang jauh lebih luas dan detail berbanding dunia imaginasi dalam bentuk kata-kata. Salah satu permainan komputer yang ada dalam komputer riba saya sekarang adalah King of Dragon Pass. Dunianya adalah fantasi di mana pemain menjadi pemimpin kepada sebuah puak yang ingin membina penempatan baru. Selain menguruskan tanaman ladang, lembu, dan kesihatan semua orang, pemain juga harus menjaga hubungan diplomatik dengan puak-puak jiran di negeri itu. Kadang-kadang tempat anda akan diserang penyamun atau tentera gergasi. Di waktu lain anda akan melakukan upacara korban kepada dewa-dewa yang wujud dalam dunia permainan ini. Dan menariknya, walaupun ini adalah sebuah permainan komputer, sistemnya hanya diatur dan digerakkan oleh teks. Pemain harus membuat pilihan berdasarkan teks dan pilihan itu akan membawa pemain ke teks seterusnya dan seterusnya. Saya sudah bermain King of the Dragon Pass semenjak zaman sekolah menengah, dan sehingga ke hari ini saya masih menemui variasi naratif dan teks baru setiap kali saya membuat keputusan. Orang yang merekakan permainan ini tidak dinafikan lagi mempunyai imaginasi seorang novelis. Sangat detail dan sangat hidup dunianya walaupun hanya bermain dengan teks dan illustrasi.

Ketika membuka buku The Dictionary of Imaginary Places susunan Alberto Manguel dan Gianni Guadalupi, saya memasang angan-angan kosong akan menemui catatan tentang dunia King of Dragon Pass. Sudah tentu hasrat saya dikecewakan. Alberto Manguel membataskan pilihannya kepada tempat-tempat imaginatif dalam dunia sastera, bahkan latarnya pun mesti mirip dengan planet Bumi dan tidak boleh berlaku di planet asing. Maka kita akan menemui Middle-Earth dan Hogwarts, tetapi kita tidak akan menemui Marikh atau Arrakis. Saya paling terkilan apabila Manguel tidak memasukkan bandar Gotham dalam bukunya kerana imej Gotham sangat subur dalam imaginasi kebanyakan peminat komik dan filem adiwira. Tetapi, yalah, Batman bukan sastera - ia hanya dunia dalam sebuah komik.

Di akhir tulisan in saya terfikir satu perkara: kenapa kita mesti menyerahkan kepada Barat untuk mengatur dan memetakan geografi imaginasi kita? Kalau kamus mereka tidak ada ruang untuk mengisi dunia fantasi Ramayana atau cerita-cerita hantu Pu Songling, kita harus melakukannya sendiri. KIta boleh melakukannya kerana kita bukan bangsa Eropah yang terlalu analitikal dan memandang serius terhadap semua benda. Saya percaya bangsa di Asia Tenggara ini bukan secara semula jadinya bangsa yang mencipta idea, tetapi bangsa yang mencipta cerita. Kita adalah bangsa yang membangunkan kota-kota mimpi.