Sunday 27 November 2016

Universiti Hantu Malaysia


Sesiapa nak masuk ke sini akan ditanya satu soalan penting oleh Naib Canselor Ahmad Kamal Abu Bakar: "Kamu ada bela Pelesit?" Budak hipster dari Subang Jaya atau Melayu liberal dari Bukit Kiara mungkin akan terpinga-pinga mendengar soalan ini. Mana nak cari Pelesit di tengah Kuala Lumpur?

"Sebagai seorang kanak-kanak Melayu ortodoks kampung yang membesar dalam dekad 80-an, saya pernah bela Pelesit, pernah duduk di tepi sungai dengan lukah menunggu kemunculan Hantu Air (agar saya boleh makan muntahnya) dan saya pernah tersempak dengan Hantu Kum Kum." Nak percaya atau tidak, terserah, tetapi begitulah mukadimah Ahmad Kamal kepada buku Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia. Saya boleh percaya pengakuannya, walaupun saya sendiri tidak percaya kepada hantu. Saya boleh percaya kerana pengakuannya begitu humor dan menyakinkan. Seperti mana terjemahan Ahmad Kamal ke atas teks asal susunan Danny Lim (berjudul The Malaysian Book of the Undead) hilang menjadi hantu dan digantikan dengan suara ngilai Ahmad Kamal. 

Nama pun Universiti Hantu Malaysia, maka sudah tentu kitab kuliah Danny Lim ini akan menyediakan pelbagai jenis hantu untuk mengganggu dan merasuk mimpi-mimpi indah para pelajarnya. Senarai hantu disusun dari A-W. Kehilangan beberapa abjad dalam senarai ini ("e", "f," "n," "q," "x," "y," "z") membuat saya terbayang keluhan H. P. Lovecraft di dalam kubur terhadap kreativiti bomoh dan pawang Melayu apabila dibandingkan dengan senarai hantu yang dia pernah ciptakan ("Yig," "Nyarlathotep," "Yog-Sothoth"). 

Cara Danny menyusun senarai hantunya adalah seperti memilih selebriti untuk Anugerah Bintang Popular. Pentas diberi keutamaan kepada hantu-hantu yang sudah berakar dalam imaginasi kita: Toyol, Pocong, Penunggu, Orang Minyak, Pontianak, Bunian. Paling melucuckan dalam senarai ini adalah Hantu Kopek (atau "Hantu Tetek") yang kerjanya adalah menangkap kanak-kanak di waktu Maghrib dan melemaskan mereka dalam pelukan buah dadanya yang melayut.

Pembaca perempuan berdarah feminis mungkin akan menyampah dengan Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia. Sebahagian besar hantu di alam kita ini adalah perempuan yang dahagakan darah orang. Tetapi cuba kita fikir di sebaliknya: bukankah kehadiran hantu-hantu perempuan ini sebenarnya menunjukkan perempuan lebih berkuasa ke atas lelaki Malaysia? Kalau tidak percaya, tanyalah Ahmad Kamal yang bercinta dengan Hantu Air.