Friday 24 June 2016

Pengarang Sebagai Ahli Kartografi



Saya suka peta. Terutama sekali peta yang dilukiskan secara detail dalam buku fantasi. Saya membesar dengan buku-buku permainan fantasi, dan antara kriteria utama saya lihat ketika membelek buku untuk dibeli adalah illustrasi dalaman dan peta. Kalau tidak ada peta, semangat saya untuk membeli buku itu akan kurang. Peta penting bagi saya bukan sekadar nak tengok gambar bukit, hutan, dan sungai yang cantik. Peta sendiri mempunyai cerita. Peta membuka jalan kepada mata kita untuk meneroka dan mengembara ke wilayah-wilayah yang tersembunyi.
 
Berbeza dengan kebanyakan novel sastera tulen di Malaysia, Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan menyediakan peta kepada pembaca. Barangkali kerana Republik Ogonshoto itu adalah kepulauan imaginasi, dan barangkali kerana bentuk novel ini adalah serpihan pelbagai cerita, maka Anwar merekakan peta sebagai panduan. Peta Republik Ogonshoto memang tidak cantik (gunung berapi dilukis hanya menggunakan simbol segi tiga). Tetapi sifat peta yang minimalis ini membuat saya lebih tertanya-tanya tentang apa sebenarnya ada di bumi Ogonshoto. Saya nak tahu warna tanahnya, saya nak tahu perbezaan fesyen baju orang di pulau Gora-Gora dengan orang di pulau Rai-Rapa, saya nak tahu kopi dan teh jenis apa mereka minum. Sebagai pengarang, Anwar sudah tentu harus memilih, mentafsir, dan mengasing-asingkan setiap detail yang akan dimasukkan ke dalam ceritanya. Dia tidak perlu menceritakan semua peristiwa di Ogonshoto, dan kalau dia ingin sekali pun, dia tidak akan mampu buat kerana fiksyen merentas sempadan mana-mana peta. Ada ruang kosong yang sentiasa harus ditinggalkan kepada imaginasi pembaca.  
 
Nah, cuba bandingkan pula dunia Anwar Ridhwan dengan dunia H. P. Lovecraft yang memang jauh lebih imaginatif. Di bawah saya kongsikan lakaran tangan yang Lovecraft sendiri pernah buat untuk bandar Arkham pada tahun 1934.
 
 
Sekarang bandingkan dengan versi permainan papan Arkam Horror.
 
 
Walaupun dari segi tekstur cerita, dunia Lovecraft lebih kaya dan berwarna-warna berbanding Anwar, Lovecraft tetap meninggalkan ruang kosong yang banyak,, seperti kita boleh lihat dalam lakaran petanya. Peminat yang kemudian membuat dunia Lovecraft menjadi lebih konkrit dan visual. Maka ini juga bagi saya kelebihan besar tulisan cerekawala kerana peta imaginasinya sangat asing dan baru kepada pembaca, ia membuat pembaca menjadi teruja, takut, dan bimbang untuk menyelak halaman buku seterusnya.     
 
Akhirnya ada peta atau tidak bukan persoalan penting kerana setiap buku merupakan sebuah peta kepada pembaca. Kita membaca judul, kita membaca nama pengarang, dan kita melihat sampul belakang seolah merancang pengembaraan seterusnya ke Mesir atau hutan Amazon. Kita membaca kerana imaginasi kita kaos dan kucar-kacir, lalu kita memerlukan peta penceritaan untuk memberikan ia struktur, bentuk, dan makna emosi yang jelas.
 

No comments:

Post a Comment