Cerita ajaib dalam sejarahnya mempunyai tiga fasa penulisan: Mitos Pertama (Lovecraft dan pengikut-pengikut terdekatnya seperti Clark Ashton Smith, Fritz Leiber, dan August Derleth), Mitos Kedua (kebangkitan horor sebagai genre penulisan komersil di tangan pengarang seperti Stephen King, Ramsay Campbell, Peter Straub, dan Clive Barker), Mitos Ketiga (memperhaluskan dan menghidupkan semula semangat generasi Mitos Pertama dalam tulisan pengarang seperti Thomas Ligotti, Laird Barron, Jeff Vandermeer dan China Miéville). Dalam ketiga-tiga mitos ini, Lovecraft adalah raja raksasa yang berdiri di tebing bukit dan mengembangkan bayang sayapnya ke atas lembah penulisan cerita ajaib.
Neil
Gaiman berkata: “Lovecraft melahirkan tema dan obsesi penulisan horor di abad
kedua puluh, dan bayang itu akan sentiasa bersama kita di abad kedua puluh satu
dan seterusnya.”
Howard
Philips Lovecraft (atau H. P. Lovecraft) dilahirkan pada 20 Ogos 1890 di
Providence, Rhode Island. Keluarganya kaya dan mempunyai sejarah pertalian
darah yang bermula dari Devonshire, England sebelum mereka berhijrah ke New
York pada awal abad kesembilan belas. Ketika Lovecraft berusia tiga tahun,
ayahnya iaitu Winfield Scott Lovecraft, dimasukkan ke dalam hospital sakit gila
sebelum meninggal dunia lima tahun kemudian. Maka jagaan dan didikan Lovecraft
jatuh ke tangan ibunya, Sarah Susan Philips Lovecraft, dan kedua-dua orang
anak-beranak ini jarang sekali berenggang selepas itu. Seperti Marcel Proust, Lovecraft
membesar sebagai anak emak yang mudah sakit dan sering terperap di dalam rumah,
dan seperti Proust juga, kesunyian dan kebosanan mencetuskan minat Lovecraft kepada
buku dan alam imaginasi. Di zaman kanak-kanaknya dia membaca Hikayat Seribu
Satu Malam dan kisah-kisah dongeng Grimm. Kita boleh membayangkan Lovecraft dan
Proust sama-sama membaca sastera klasik Perancis dan buku seram Gotik sambil
terlentang sakit di atas katil. Kita tahu Lovecraft pernah membaca novel Proust
dan sangat mengaguminya, tetapi mustahil Proust pernah mendapat peluang untuk
membaca Lovecraft. Matlamat Proust setiap kali penanya menurunkan kata-kata
adalah untuk berada di makam sastera paling tertinggi, sementara Lovecraft tidak
mampu, selain tidak berminat dan enggan bertolak ansur, untuk memasang sayap ke
syurga: dia lebih senang dan berbahagia bermain di ruang marginal
majalah-majalah picisan (atau pulp
seperti mana ia dikenali di Amerika Syarikat) seperti Weird Tales dan Amazing
Stories.
Lovecraft
bukan pengarang yang prolifik kalau nak dibandingkan dengan penulis-penulis pulp lain di zamannya. Malah dia tidak
pernah menulis sebuah novel kecuali tiga karya panjang yang boleh dikategorikan
sebagai novela sahaja: The Dream Quest of
Unknown Kadath, The Case of Charles
Dexter Ward, dan At the Mountain of Madness. Selebihnya adalah
sejumlah enam puluh buah cerpen yang kebanyakannya diterbitkan oleh Weird Tales. Bayaran royalti Lovecraft
terima sangat rendah dan tidak mencukupi untuk menampung corak hidupnya yang
enggan menerima apa-apa pekerjaan kecuali menulis. Lovecraft pernah ditawarkan
jawatan editor majalah Weird Tales,
tetapi menolak, kerana menerimanya bermaksud dia harus berpindah ke Chicago dan
berada jauh dari Providence. Lovecraft hanya berpindah sekali ke New York pada
1924 apabila dia berkahwin dengan Sonia Haft Green (perkahwinan ini tidak kekal
dan mereka tidak pernah mendapat anak). Keberadaan Lovecraft di New York hanya
mengukuhkan lagi sentimen perkauman dalam dirinya terhadap golongan imigran dan
ia melimpah masuk ke dalam cerpen seperti He
dan The Horror at Red Hook. Bersama
Rudyard Kipiling dan Joseph Conrad, Lovecraft menanggung dosa perkauman
sehingga ke hari ini, ibarat parut yang tidak boleh dipadamkan.
Namun gergasi yang menggoncang dunia
sering kali mencipta imaginasi dan pemikiran mereka dalam kegelapan berbanding
di bawah cahaya moraliti sesuatu zaman. Martin Heidegger adalah ahli falsafah
paling berpengaruh di abad kedua puluh, namun pada masa sama dia juga mendukung
ideologi Nazi, dan tidak pernah membuat pemohonan maaf selepas tamatnya Perang
Dunia Kedua. Justeru, dalam kita menilai
dan menghukum kehadiran seekor gergasi, adakah kita patut memandang pada kuku,
taring, dan wajah ngerinya, atau kita patut memandang pada monumen-monumen lama
yang diruntuhkan dan dunia baru yang diciptakan?
Menurut
Michael Moorcock: “Cerita ajaib tidak mempunyai sebarang syarat khusus, dan ini
adalah antara keistimewaannya jika cerita yang ingin disampaikan oleh seorang
penulis tidak dapat dipersembahkan dalam bentuk konvensional. Walaupun cerita
ajaib sering kali membaurkan unsur ghaib, atau membayangkan unsur ghaib, ia
bukanlah suatu kewajipan.” Hal sama jika boleh dikatakan tentang cerpen-cerpen Lovecraft:
bukan semuanya menekankan unsur seram, ngeri, dan horor. Cerpennya ditulis
bukan untuk memeranjatkan pembaca. Pencerita Lovecraft (dan kebanyakan
pencerita dalam genre cerita ajaib) sering kali berdepan atau terperangkap
dalam situasi aneh, ajaib, dan membingungkan kefahaman kebiasaan kita tentang
kejadian manusia, hukum alam, dan aturan kosmologi. Unsur “keajaiban” ini
bertindak bukan sebagai antagonis (seperti mana ia sering berlaku dalam novel
horor) tetapi menjadi pemangkin, pencetus, dan di kemuncaknya, pemusnah kepada
kestabilan rasionaliti seorang pencerita.
Kalau
sastera realisme mengharmonikan hubungan keberadaan antara seorang manusia dan
alam di sekelilingnya, maka sastera imaginatif mencabar hubungan tersebut.
Lovecraft
menghadirkan kehancuran atau teror kosmik dalam ceritanya melalui pelbagai
cara. Antaranya adalah meruntuhkan kebergantungan manusia pada seni seperti
yang kita temui dalam cerpen The Music of
Erich Zann. Bahasa menjadikan kita manusia berfikir, tetapi bahasa sebagai
sistem perhubungan sosial, turut memisahkan kita daripada alam. Maka jalan
kembali kepada alam untuk manusia adalah melalui karya seni. Cerita Lovecraft
mengisahkan pengalaman seorang sarjana filasafat yang terpesona dan tertaksub
dengan mainan muzik lelaki tua eksentrik bernama Erich Zann. Secara kebetulan,
dan tanpa sebarang ingatan, pencerita Lovecraft menemui pekan Rue d’Auseil yang
sentiasa gelap dan sunyi di seberang sebuah jambatan berbatu hitam dengan rumah-rumah
“tinggi, berbumbung tirus, usang, dan menyandar ke belakang serta menyendeng ke
kiri dan ke kanan.” Dia kemudian menyewa di apartmen sama dengan Erich Zann dan
hari demi hari dia mengunjungi rumah orang tua itu untuk mendengarnya main
biola. Di sini, muzik yang asalnya memberikan pengalaman transendental kepada
pemain dan pendengarnya, bertukar menjadi kuasa rasukan seolah-olah nota-nota
muzik yang Erich Zahn mainkan adalah nyanyian dan seruan kepada dunia dari alam
ghaib. Cerita ini mencapai kemuncaknya, pada suatu malam, apabila si pencerita
menyaksikan persembahan paling agung Erich Zann. Apartmen itu bergegar, cermin
pecah, kertas nota muzik karangan Erich Zann berterbangan, lalu si pencerita
bergegas berlari ke jendela untuk menyelamatkannya.
“Namun
apabila aku melihat keluar jendela, ketika lilin berdetap dan biola menjeritkan
angin malam, aku tidak melihat sebuah kota di bawah sana, jalan-jalan kukenal
seperti lenyap, lantas meninggalkan ruang angkasa hitam yang bergema dengan
gerakan dan muzik, dan ternyata tidak ada kejadian di bumi yang boleh menjelaskan
keanehan ini.”
Sejarah dalam cerita berjudul Rats in the Wall menjadi kubur puaka di
bawah minda. Seperti The Music of Erich
Zann, Lovecraft bermain dengan bunyi untuk menggerakkan cerita dan membina
suasana ketakutan sehingga bukan penceritanya sahaja yang berdebar-debar dan
tertanya-tanya akan misteri bunyi di dalam dinding rumah istananya, tetapi kita
sebagai pembaca juga. Ternyata di bawah istana kuno ini (ia dikatakan dibina
dari zaman Romawi) terdapat kuburan mayat, tulang rangka manusia, dan tikus
yang banyak dan hidup dengan memamah daging orang. Istana ini bukan memelihara
sejarah sebuah keluarga, tetapi ia memendamkan sejarah itu menjadi sumpahan
keturunan.
Manusia sering kali berbangga
dengan sejarah dan warisan keluarga. Lalu kita menyimpan barang-barang antik,
kita memelihara rumah nenek moyang, dan kita mempertahankan nama keluarga yang
diberikan kepada kita sebagai anugerah terhormat. Di luar penulisan fiksyen, Lovecraft
juga berbangga dengan sejarah keluarganya, malah dia sering kali menonjolkan
perwatakan lelaki budiman dari abad kesembilan belas. Kebanggaan ini,
malangnya, membangkitkan rasa takut dan jijik dalam diri Lovecraft terhadap
orang Afrika dan Asia yang dia percaya suatu hari nanti akan bertambah ramai
dan bakal mencemarkan kesucian darah bangsa kulit putih. Barangkali fiksyen
adalah jalan keluar, sumber meditasi, dan mantera pembersihan rohani buat
Lovecraft. Dia harus berdepan dengan ketakutan untuk menundukkan ketakutan itu.
Wataknya harus terlebih dahulu mati atau diancam dengan kematian, sebelum
Lovecraft sendiri dapat bangkit semula sebagai manusia yang berbeza.
Satu lagi teknik kegemaran,
bahkan sumber inspirasi, Lovecraft adalah mimpi. Dalam dunia Lovecraft mimpi
bukan tangga-tangga seksualiti ke alam bawah sedar Freud. Barangkali hanya
Stephen King yang percaya makhluk-makhluk asing bersayap kelawar dan berkepala
sotong ciptaan Lovecraft adalah simbol ketakutannya pada wanita. Namun
berdasarkan sejumlah cerpen Lovecraft yang telah dikategorikan oleh pengikutnya
sebagai “Kitaran Mimpi,” kita boleh percaya mimpi adalah pintu Lovecraft ke
dunia lain. Bukan untuk melarikan diri
dari realiti, seperti mana sastera imaginatif sering dituduh dan dihukum oleh
kesatria-kesatria moraliti dan kebenaran. Sebaliknya: Lovecraft mencipta mimpi
sebagai kaedah terbaik untuk dia berdepan dengan realiti. Donald Tyson dalam
buku kajiannya berjudul The Dream World
of H. P. Lovecraft: His Life, His Demons, His Universe, menegaskan mimpi
adalah sumber utama kepada alam imaginasi Lovecraft, dan mimpi itu berpunca
daripada kitab yang Lovecraft sendiri temui dan baca dalam mimpinya iaitu
Necronomicon. Justeru, kalau dunia Lovecraft sering dikenali sebagai “Mitos
Cthulhu” berdasarkan label yang diberikan oleh August Darleth, Tyson mengubahnya
kepada “Mitos Necronomicon.”
Kebanyakan daripada kita hidup
setiap hari hanya dalam satu dunia – dunia jasmani – kerana kita percaya pada
kesedaran minda. Tetapi tanggapan minda manusia sering kali lebih mengelirukan
berbanding apa dia lihat di alam mimpi. Minda manusia telah diprogramkan dan
dibudayakan dengan kepercayaan bahawa kebahagiaan di atas dunia ini adalah
hedonistik dan akan berkekalan, walaupun selepas mati. Sementara alam mimpi
berada di luar kawalan minda dan lebih dekat dan realistik dalam mengingatkan
manusia kepada kebenaran paling mutlak dan menakutkan: kita semua akan mati dan
meninggalkan alam jasmani. Lovecraft, melebihi mana-mana pengarang dalam
sejarah kesusasteraan, mencipta mimpi, kerana itu sahaja cara dia boleh lakukan
untuk menutup pintu-pintu kebenaran, kutukan, dan amaran daripada melimpah
masuk ke dalam minda sedarnya.
Asalnya seorang penulis
mandiri dan bawah tanah, kini H. P. Lovecraft telah berada di status klasik dan
mahaguru dalam tradisi sastera imaginatif bersama Edgar Allan Poe, Jorge Luis
Borges, Italo Calvino, Ray Bradbury, Arthur Machen, dan Lord Dunsany. Kesemua
cerpennya telah dibukukan dalam siri tiga jilid terbitan The Library of America
dan juga siri tiga jilid terbitan Penguin Classics. Legasi cerita ajaib yang
Lovecraft tinggalkan masih belum dikenali mahupun diterima oleh pembaca umum di
mana-mana. Namun dengan kedatangan dan revolusi cerita ajaib oleh penulis Mitos
Ketiga, Lovecraft boleh tidur dengan tenang dan terus bermimpi.
No comments:
Post a Comment