Showing posts with label H. P. Lovecraft. Show all posts
Showing posts with label H. P. Lovecraft. Show all posts

Friday, 24 June 2016

Pengarang Sebagai Ahli Kartografi



Saya suka peta. Terutama sekali peta yang dilukiskan secara detail dalam buku fantasi. Saya membesar dengan buku-buku permainan fantasi, dan antara kriteria utama saya lihat ketika membelek buku untuk dibeli adalah illustrasi dalaman dan peta. Kalau tidak ada peta, semangat saya untuk membeli buku itu akan kurang. Peta penting bagi saya bukan sekadar nak tengok gambar bukit, hutan, dan sungai yang cantik. Peta sendiri mempunyai cerita. Peta membuka jalan kepada mata kita untuk meneroka dan mengembara ke wilayah-wilayah yang tersembunyi.
 
Berbeza dengan kebanyakan novel sastera tulen di Malaysia, Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan menyediakan peta kepada pembaca. Barangkali kerana Republik Ogonshoto itu adalah kepulauan imaginasi, dan barangkali kerana bentuk novel ini adalah serpihan pelbagai cerita, maka Anwar merekakan peta sebagai panduan. Peta Republik Ogonshoto memang tidak cantik (gunung berapi dilukis hanya menggunakan simbol segi tiga). Tetapi sifat peta yang minimalis ini membuat saya lebih tertanya-tanya tentang apa sebenarnya ada di bumi Ogonshoto. Saya nak tahu warna tanahnya, saya nak tahu perbezaan fesyen baju orang di pulau Gora-Gora dengan orang di pulau Rai-Rapa, saya nak tahu kopi dan teh jenis apa mereka minum. Sebagai pengarang, Anwar sudah tentu harus memilih, mentafsir, dan mengasing-asingkan setiap detail yang akan dimasukkan ke dalam ceritanya. Dia tidak perlu menceritakan semua peristiwa di Ogonshoto, dan kalau dia ingin sekali pun, dia tidak akan mampu buat kerana fiksyen merentas sempadan mana-mana peta. Ada ruang kosong yang sentiasa harus ditinggalkan kepada imaginasi pembaca.  
 
Nah, cuba bandingkan pula dunia Anwar Ridhwan dengan dunia H. P. Lovecraft yang memang jauh lebih imaginatif. Di bawah saya kongsikan lakaran tangan yang Lovecraft sendiri pernah buat untuk bandar Arkham pada tahun 1934.
 
 
Sekarang bandingkan dengan versi permainan papan Arkam Horror.
 
 
Walaupun dari segi tekstur cerita, dunia Lovecraft lebih kaya dan berwarna-warna berbanding Anwar, Lovecraft tetap meninggalkan ruang kosong yang banyak,, seperti kita boleh lihat dalam lakaran petanya. Peminat yang kemudian membuat dunia Lovecraft menjadi lebih konkrit dan visual. Maka ini juga bagi saya kelebihan besar tulisan cerekawala kerana peta imaginasinya sangat asing dan baru kepada pembaca, ia membuat pembaca menjadi teruja, takut, dan bimbang untuk menyelak halaman buku seterusnya.     
 
Akhirnya ada peta atau tidak bukan persoalan penting kerana setiap buku merupakan sebuah peta kepada pembaca. Kita membaca judul, kita membaca nama pengarang, dan kita melihat sampul belakang seolah merancang pengembaraan seterusnya ke Mesir atau hutan Amazon. Kita membaca kerana imaginasi kita kaos dan kucar-kacir, lalu kita memerlukan peta penceritaan untuk memberikan ia struktur, bentuk, dan makna emosi yang jelas.
 

Wednesday, 11 November 2015

Lovecraft Bangkit Dari Kubur

Esei ini asalnya diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera September 2015


 
BUKAN jasadnya sendiri, tetapi genre penulisan yang Lovecraft ciptakan: weird fiction atau cerita ajaib. Di tangan penulis generasi baharu seperti Jeff Vandermeer dan China Miéville weird fiction dirangkakan semula dan dimutasikan (melalui kacukan horor dan fiksyen sains era new wave) menjadi new weird.

              Cerita ajaib dalam sejarahnya mempunyai tiga fasa penulisan: Mitos Pertama (Lovecraft dan pengikut-pengikut terdekatnya seperti Clark Ashton Smith, Fritz Leiber, dan August Derleth), Mitos Kedua (kebangkitan horor sebagai genre penulisan komersil di tangan pengarang seperti Stephen King, Ramsay Campbell, Peter Straub, dan Clive Barker), Mitos Ketiga (memperhaluskan dan menghidupkan semula semangat generasi Mitos Pertama dalam tulisan pengarang seperti Thomas Ligotti, Laird Barron, Jeff Vandermeer dan China Miéville). Dalam ketiga-tiga mitos ini, Lovecraft adalah raja raksasa yang berdiri di tebing bukit dan mengembangkan bayang sayapnya ke atas lembah penulisan cerita ajaib. 

            Neil Gaiman berkata: “Lovecraft melahirkan tema dan obsesi penulisan horor di abad kedua puluh, dan bayang itu akan sentiasa bersama kita di abad kedua puluh satu dan seterusnya.”

            Howard Philips Lovecraft (atau H. P. Lovecraft) dilahirkan pada 20 Ogos 1890 di Providence, Rhode Island. Keluarganya kaya dan mempunyai sejarah pertalian darah yang bermula dari Devonshire, England sebelum mereka berhijrah ke New York pada awal abad kesembilan belas. Ketika Lovecraft berusia tiga tahun, ayahnya iaitu Winfield Scott Lovecraft, dimasukkan ke dalam hospital sakit gila sebelum meninggal dunia lima tahun kemudian. Maka jagaan dan didikan Lovecraft jatuh ke tangan ibunya, Sarah Susan Philips Lovecraft, dan kedua-dua orang anak-beranak ini jarang sekali berenggang selepas itu. Seperti Marcel Proust, Lovecraft membesar sebagai anak emak yang mudah sakit dan sering terperap di dalam rumah, dan seperti Proust juga, kesunyian dan kebosanan mencetuskan minat Lovecraft kepada buku dan alam imaginasi. Di zaman kanak-kanaknya dia membaca Hikayat Seribu Satu Malam dan kisah-kisah dongeng Grimm. Kita boleh membayangkan Lovecraft dan Proust sama-sama membaca sastera klasik Perancis dan buku seram Gotik sambil terlentang sakit di atas katil. Kita tahu Lovecraft pernah membaca novel Proust dan sangat mengaguminya, tetapi mustahil Proust pernah mendapat peluang untuk membaca Lovecraft. Matlamat Proust setiap kali penanya menurunkan kata-kata adalah untuk berada di makam sastera paling tertinggi, sementara Lovecraft tidak mampu, selain tidak berminat dan enggan bertolak ansur, untuk memasang sayap ke syurga: dia lebih senang dan berbahagia bermain di ruang marginal majalah-majalah picisan (atau pulp seperti mana ia dikenali di Amerika Syarikat) seperti Weird Tales dan Amazing Stories.

            Lovecraft bukan pengarang yang prolifik kalau nak dibandingkan dengan penulis-penulis pulp lain di zamannya. Malah dia tidak pernah menulis sebuah novel kecuali tiga karya panjang yang boleh dikategorikan sebagai novela sahaja: The Dream Quest of Unknown Kadath, The Case of Charles Dexter Ward, dan At the Mountain of Madness. Selebihnya adalah sejumlah enam puluh buah cerpen yang kebanyakannya diterbitkan oleh Weird Tales. Bayaran royalti Lovecraft terima sangat rendah dan tidak mencukupi untuk menampung corak hidupnya yang enggan menerima apa-apa pekerjaan kecuali menulis. Lovecraft pernah ditawarkan jawatan editor majalah Weird Tales, tetapi menolak, kerana menerimanya bermaksud dia harus berpindah ke Chicago dan berada jauh dari Providence. Lovecraft hanya berpindah sekali ke New York pada 1924 apabila dia berkahwin dengan Sonia Haft Green (perkahwinan ini tidak kekal dan mereka tidak pernah mendapat anak). Keberadaan Lovecraft di New York hanya mengukuhkan lagi sentimen perkauman dalam dirinya terhadap golongan imigran dan ia melimpah masuk ke dalam cerpen seperti He dan The Horror at Red Hook. Bersama Rudyard Kipiling dan Joseph Conrad, Lovecraft menanggung dosa perkauman sehingga ke hari ini, ibarat parut yang tidak boleh dipadamkan.

            Namun gergasi yang menggoncang dunia sering kali mencipta imaginasi dan pemikiran mereka dalam kegelapan berbanding di bawah cahaya moraliti sesuatu zaman. Martin Heidegger adalah ahli falsafah paling berpengaruh di abad kedua puluh, namun pada masa sama dia juga mendukung ideologi Nazi, dan tidak pernah membuat pemohonan maaf selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.  Justeru, dalam kita menilai dan menghukum kehadiran seekor gergasi, adakah kita patut memandang pada kuku, taring, dan wajah ngerinya, atau kita patut memandang pada monumen-monumen lama yang diruntuhkan dan dunia baru yang diciptakan?

            Menurut Michael Moorcock: “Cerita ajaib tidak mempunyai sebarang syarat khusus, dan ini adalah antara keistimewaannya jika cerita yang ingin disampaikan oleh seorang penulis tidak dapat dipersembahkan dalam bentuk konvensional. Walaupun cerita ajaib sering kali membaurkan unsur ghaib, atau membayangkan unsur ghaib, ia bukanlah suatu kewajipan.” Hal sama jika boleh dikatakan tentang cerpen-cerpen Lovecraft: bukan semuanya menekankan unsur seram, ngeri, dan horor. Cerpennya ditulis bukan untuk memeranjatkan pembaca. Pencerita Lovecraft (dan kebanyakan pencerita dalam genre cerita ajaib) sering kali berdepan atau terperangkap dalam situasi aneh, ajaib, dan membingungkan kefahaman kebiasaan kita tentang kejadian manusia, hukum alam, dan aturan kosmologi. Unsur “keajaiban” ini bertindak bukan sebagai antagonis (seperti mana ia sering berlaku dalam novel horor) tetapi menjadi pemangkin, pencetus, dan di kemuncaknya, pemusnah kepada kestabilan rasionaliti seorang pencerita.

            Kalau sastera realisme mengharmonikan hubungan keberadaan antara seorang manusia dan alam di sekelilingnya, maka sastera imaginatif mencabar hubungan tersebut.

            Lovecraft menghadirkan kehancuran atau teror kosmik dalam ceritanya melalui pelbagai cara. Antaranya adalah meruntuhkan kebergantungan manusia pada seni seperti yang kita temui dalam cerpen The Music of Erich Zann. Bahasa menjadikan kita manusia berfikir, tetapi bahasa sebagai sistem perhubungan sosial, turut memisahkan kita daripada alam. Maka jalan kembali kepada alam untuk manusia adalah melalui karya seni. Cerita Lovecraft mengisahkan pengalaman seorang sarjana filasafat yang terpesona dan tertaksub dengan mainan muzik lelaki tua eksentrik bernama Erich Zann. Secara kebetulan, dan tanpa sebarang ingatan, pencerita Lovecraft menemui pekan Rue d’Auseil yang sentiasa gelap dan sunyi di seberang sebuah jambatan berbatu hitam dengan rumah-rumah “tinggi, berbumbung tirus, usang, dan menyandar ke belakang serta menyendeng ke kiri dan ke kanan.” Dia kemudian menyewa di apartmen sama dengan Erich Zann dan hari demi hari dia mengunjungi rumah orang tua itu untuk mendengarnya main biola. Di sini, muzik yang asalnya memberikan pengalaman transendental kepada pemain dan pendengarnya, bertukar menjadi kuasa rasukan seolah-olah nota-nota muzik yang Erich Zahn mainkan adalah nyanyian dan seruan kepada dunia dari alam ghaib. Cerita ini mencapai kemuncaknya, pada suatu malam, apabila si pencerita menyaksikan persembahan paling agung Erich Zann. Apartmen itu bergegar, cermin pecah, kertas nota muzik karangan Erich Zann berterbangan, lalu si pencerita bergegas berlari ke jendela untuk menyelamatkannya.

“Namun apabila aku melihat keluar jendela, ketika lilin berdetap dan biola menjeritkan angin malam, aku tidak melihat sebuah kota di bawah sana, jalan-jalan kukenal seperti lenyap, lantas meninggalkan ruang angkasa hitam yang bergema dengan gerakan dan muzik, dan ternyata tidak ada kejadian di bumi yang boleh menjelaskan keanehan ini.”

           

Sejarah dalam cerita berjudul Rats in the Wall menjadi kubur puaka di bawah minda. Seperti The Music of Erich Zann, Lovecraft bermain dengan bunyi untuk menggerakkan cerita dan membina suasana ketakutan sehingga bukan penceritanya sahaja yang berdebar-debar dan tertanya-tanya akan misteri bunyi di dalam dinding rumah istananya, tetapi kita sebagai pembaca juga. Ternyata di bawah istana kuno ini (ia dikatakan dibina dari zaman Romawi) terdapat kuburan mayat, tulang rangka manusia, dan tikus yang banyak dan hidup dengan memamah daging orang. Istana ini bukan memelihara sejarah sebuah keluarga, tetapi ia memendamkan sejarah itu menjadi sumpahan keturunan.  

Manusia sering kali berbangga dengan sejarah dan warisan keluarga. Lalu kita menyimpan barang-barang antik, kita memelihara rumah nenek moyang, dan kita mempertahankan nama keluarga yang diberikan kepada kita sebagai anugerah terhormat. Di luar penulisan fiksyen, Lovecraft juga berbangga dengan sejarah keluarganya, malah dia sering kali menonjolkan perwatakan lelaki budiman dari abad kesembilan belas. Kebanggaan ini, malangnya, membangkitkan rasa takut dan jijik dalam diri Lovecraft terhadap orang Afrika dan Asia yang dia percaya suatu hari nanti akan bertambah ramai dan bakal mencemarkan kesucian darah bangsa kulit putih. Barangkali fiksyen adalah jalan keluar, sumber meditasi, dan mantera pembersihan rohani buat Lovecraft. Dia harus berdepan dengan ketakutan untuk menundukkan ketakutan itu. Wataknya harus terlebih dahulu mati atau diancam dengan kematian, sebelum Lovecraft sendiri dapat bangkit semula sebagai manusia yang berbeza.        

Satu lagi teknik kegemaran, bahkan sumber inspirasi, Lovecraft adalah mimpi. Dalam dunia Lovecraft mimpi bukan tangga-tangga seksualiti ke alam bawah sedar Freud. Barangkali hanya Stephen King yang percaya makhluk-makhluk asing bersayap kelawar dan berkepala sotong ciptaan Lovecraft adalah simbol ketakutannya pada wanita. Namun berdasarkan sejumlah cerpen Lovecraft yang telah dikategorikan oleh pengikutnya sebagai “Kitaran Mimpi,” kita boleh percaya mimpi adalah pintu Lovecraft ke dunia lain. Bukan untuk melarikan diri dari realiti, seperti mana sastera imaginatif sering dituduh dan dihukum oleh kesatria-kesatria moraliti dan kebenaran. Sebaliknya: Lovecraft mencipta mimpi sebagai kaedah terbaik untuk dia berdepan dengan realiti. Donald Tyson dalam buku kajiannya berjudul The Dream World of H. P. Lovecraft: His Life, His Demons, His Universe, menegaskan mimpi adalah sumber utama kepada alam imaginasi Lovecraft, dan mimpi itu berpunca daripada kitab yang Lovecraft sendiri temui dan baca dalam mimpinya iaitu Necronomicon. Justeru, kalau dunia Lovecraft sering dikenali sebagai “Mitos Cthulhu” berdasarkan label yang diberikan oleh August Darleth, Tyson mengubahnya kepada “Mitos Necronomicon.”

Kebanyakan daripada kita hidup setiap hari hanya dalam satu dunia – dunia jasmani – kerana kita percaya pada kesedaran minda. Tetapi tanggapan minda manusia sering kali lebih mengelirukan berbanding apa dia lihat di alam mimpi. Minda manusia telah diprogramkan dan dibudayakan dengan kepercayaan bahawa kebahagiaan di atas dunia ini adalah hedonistik dan akan berkekalan, walaupun selepas mati. Sementara alam mimpi berada di luar kawalan minda dan lebih dekat dan realistik dalam mengingatkan manusia kepada kebenaran paling mutlak dan menakutkan: kita semua akan mati dan meninggalkan alam jasmani. Lovecraft, melebihi mana-mana pengarang dalam sejarah kesusasteraan, mencipta mimpi, kerana itu sahaja cara dia boleh lakukan untuk menutup pintu-pintu kebenaran, kutukan, dan amaran daripada melimpah masuk ke dalam minda sedarnya.

Asalnya seorang penulis mandiri dan bawah tanah, kini H. P. Lovecraft telah berada di status klasik dan mahaguru dalam tradisi sastera imaginatif bersama Edgar Allan Poe, Jorge Luis Borges, Italo Calvino, Ray Bradbury, Arthur Machen, dan Lord Dunsany. Kesemua cerpennya telah dibukukan dalam siri tiga jilid terbitan The Library of America dan juga siri tiga jilid terbitan Penguin Classics. Legasi cerita ajaib yang Lovecraft tinggalkan masih belum dikenali mahupun diterima oleh pembaca umum di mana-mana. Namun dengan kedatangan dan revolusi cerita ajaib oleh penulis Mitos Ketiga, Lovecraft boleh tidur dengan tenang dan terus bermimpi.                   

Friday, 1 April 2011

Fiksyen Fantastik: Bukan Sekadar Star Wars, Tolkien dan Dracula




J. G. Ballard, Franz Kafka, Borges, Italo Calvino Henry James, Joyce Carol Oates, Anthony Burgess, ialah antara beberapa nama penulis fantastik dalam sejarah sastera dunia. Ballard misalnya menulis fiksyen sains (FS) dan juga novel sejarah. Novel terkenal Italo Calvino Invisible Cities boleh dibaca sebagai FS dan juga fantasi memandangkan setiap bandar dalam buku itu hanyalah lukisan imaginasi Marco Polo terhadap bandar Venice. Joyce Carol Oates, antara cerpenis wanita terbaik Amerika selepas Flannery O' Connor, meneruskan tradisi penulisan cerita Gothic dan macabre selain menghasilkan novel dalam jumlah yang banyak. Cerita-cerita hantu Henry James itu sendiri sudah cukup untuk meletakkannya dalam kanon sastera sekiranya dia tidak menulis satu novel pun. Stephen King dalam pengenalan kepada buku Masters of Horror and the Supernatural: The Great Tales dengan tegasnya mempertahankan fiskyen seram atau supernatural sebagai penulisan yang serius, dan bukan main-main seperti yang dipandang oleh para pembacanya. Ketegasan King itu bernada defensive; tetapi bukankah semua penulis bersikap begitu apabila ingin mempertahankan seni yang diperjuangkannya? Robert Louis Stevenson pernah menolak realisme Flaubert seperti Martin Amis pernah menolak novel Don Quixote kerana dia rasa ia terlalu membosankan. Penolakkan satu tradisi penulisan ialah untuk menyokong atau mengangkat tradisi penulisan yang lain. Seperti kata Borges, setiap penulis mencipta tradisinya.

Sesungguhpun penulis-penulis sastera di atas berada dalam tradisi penulisan fantastik, namun kita lebih cenderung untuk melihat zaman kita ini sebagai zaman milik Philip K. Dick dan J. R. R. Tolkien. Malah padangan hidup dan struktur imaginasi masyarakat umum dibina, sama ada secara langsung atau tidak langsung, melalui karya-karya mereka. Tahun ini sahaja ada tiga filem yang lahir dari dunia Philip K. Dick. Seperti H. P. Lovecraft dan H. G. Wells, Phlip K. Dick ialah pencipta mitos di zaman moden. Walaupun paranoia atau anxiety dunia kita sekarang telah didefinisikan oleh Kafka dan Borges, tetapi adalah melalui karya Dick dan Tolkien masyarakat membina budaya dan pemikiran mereka. Hasilnya ialah produk seni yang bersifat komersil. Dunia Dick dan Lovecraft telah dijadikan permainan video. Siri novel Lord of the Rings hanya dibeli sekadar untuk hiasan di rak kerana nak membacanya akan memakan masa yang terlalu lama. Menonton filem lebih cepat dan menghiburkan. Tetapi adakah seni itu dicipta untuk dihabiskan dengan cepat seperti seorang itu menghabiskan burger Big Mac? Adakah sama iklan produk kecantikan di muka depan akhbar dengan ruangan sajak di bahagian tengah akhbar yang sama? Adakah sama sebuah komik dengan sebuah cerpen? Adakah sama lagu nyanyian Lady Gaga dengan muzik Bach atau Mozart? Dan adakah sama kekuatan penulisan Tolkien dengan Cervantes walaupun dalam kedua-dua dunia mereka ada watak yang menunggang kuda?

Saya bukanlah nak merendahkan sumbangan Dick atau Tolkien dalam perkembangan tradisi penulisan fantastik. Dick, seperti Charles Dickens seabad sebelumnya, ialah kilang imaginasi yang mengeluarkan karya secara berterusan. Dan seperti Dickens juga, ada karya Dick itu yang terlalu dipaksa penulisannya. Hal yang sama juga berlaku pada Zola dan Balzac. Untuk membaca mereka ialah membaca dalam jumlah yang banyak tanpa memandang ketepatan kata-kata. Ketepatan kata-kata yang terdapat dalam Poe dan Borges ialah sesuatu yang sukar ditemui dalam dunia Dick. Dalam hal ini, kita boleh memaafkannya.

Sastera juga telah memaafkan Lovecraft yang pernah melakukan dosa sama dengan Dick. Malah dia sekarang telah masuk ke dalam kanon sastera Amerika.

Tetapi apabila penulisan fantastik itu sendiri dipandang sebagai produk komersil oleh pembaca, atau dipandang dengan sebelah mata sahaja oleh para penulis yang kononnya mewakili dunia sastera, adakah penulis seperti Philip K. Dick, Tolkien, C. S. Lewis, Stephen King, Clive Barker, Neil Gaiman masih boleh dimaafkan?

Ya, kita boleh memaafkan mereka. Kalau kita boleh memaafkan para sasterawan kita kerana menulis karya-karya yang membosankan tapi berseni dan bermoral dan beriman, sudah tentu kita boleh memaafkan Dick, King, Tolkien kerana telah menghiburkan kita. Akhir sekali, ia berbalik juga kepada pembacaan seorang individu.

Pembacaan itu ialah ekspresi kuasa seorang individu. Kekuatan ini datang dari perbualan dalaman antara kita dengan seorang penulis. Ia bermula dan berakhir dengan kata-kata. Dan kata-kata, untuk kita mendapat isinya yang paling dalam, sudah tentu memerlukan masa dan kesabaran dari kita.