Wednesday 11 November 2015

Lovecraft Bangkit Dari Kubur

Esei ini asalnya diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera September 2015


 
BUKAN jasadnya sendiri, tetapi genre penulisan yang Lovecraft ciptakan: weird fiction atau cerita ajaib. Di tangan penulis generasi baharu seperti Jeff Vandermeer dan China Miéville weird fiction dirangkakan semula dan dimutasikan (melalui kacukan horor dan fiksyen sains era new wave) menjadi new weird.

              Cerita ajaib dalam sejarahnya mempunyai tiga fasa penulisan: Mitos Pertama (Lovecraft dan pengikut-pengikut terdekatnya seperti Clark Ashton Smith, Fritz Leiber, dan August Derleth), Mitos Kedua (kebangkitan horor sebagai genre penulisan komersil di tangan pengarang seperti Stephen King, Ramsay Campbell, Peter Straub, dan Clive Barker), Mitos Ketiga (memperhaluskan dan menghidupkan semula semangat generasi Mitos Pertama dalam tulisan pengarang seperti Thomas Ligotti, Laird Barron, Jeff Vandermeer dan China Miéville). Dalam ketiga-tiga mitos ini, Lovecraft adalah raja raksasa yang berdiri di tebing bukit dan mengembangkan bayang sayapnya ke atas lembah penulisan cerita ajaib. 

            Neil Gaiman berkata: “Lovecraft melahirkan tema dan obsesi penulisan horor di abad kedua puluh, dan bayang itu akan sentiasa bersama kita di abad kedua puluh satu dan seterusnya.”

            Howard Philips Lovecraft (atau H. P. Lovecraft) dilahirkan pada 20 Ogos 1890 di Providence, Rhode Island. Keluarganya kaya dan mempunyai sejarah pertalian darah yang bermula dari Devonshire, England sebelum mereka berhijrah ke New York pada awal abad kesembilan belas. Ketika Lovecraft berusia tiga tahun, ayahnya iaitu Winfield Scott Lovecraft, dimasukkan ke dalam hospital sakit gila sebelum meninggal dunia lima tahun kemudian. Maka jagaan dan didikan Lovecraft jatuh ke tangan ibunya, Sarah Susan Philips Lovecraft, dan kedua-dua orang anak-beranak ini jarang sekali berenggang selepas itu. Seperti Marcel Proust, Lovecraft membesar sebagai anak emak yang mudah sakit dan sering terperap di dalam rumah, dan seperti Proust juga, kesunyian dan kebosanan mencetuskan minat Lovecraft kepada buku dan alam imaginasi. Di zaman kanak-kanaknya dia membaca Hikayat Seribu Satu Malam dan kisah-kisah dongeng Grimm. Kita boleh membayangkan Lovecraft dan Proust sama-sama membaca sastera klasik Perancis dan buku seram Gotik sambil terlentang sakit di atas katil. Kita tahu Lovecraft pernah membaca novel Proust dan sangat mengaguminya, tetapi mustahil Proust pernah mendapat peluang untuk membaca Lovecraft. Matlamat Proust setiap kali penanya menurunkan kata-kata adalah untuk berada di makam sastera paling tertinggi, sementara Lovecraft tidak mampu, selain tidak berminat dan enggan bertolak ansur, untuk memasang sayap ke syurga: dia lebih senang dan berbahagia bermain di ruang marginal majalah-majalah picisan (atau pulp seperti mana ia dikenali di Amerika Syarikat) seperti Weird Tales dan Amazing Stories.

            Lovecraft bukan pengarang yang prolifik kalau nak dibandingkan dengan penulis-penulis pulp lain di zamannya. Malah dia tidak pernah menulis sebuah novel kecuali tiga karya panjang yang boleh dikategorikan sebagai novela sahaja: The Dream Quest of Unknown Kadath, The Case of Charles Dexter Ward, dan At the Mountain of Madness. Selebihnya adalah sejumlah enam puluh buah cerpen yang kebanyakannya diterbitkan oleh Weird Tales. Bayaran royalti Lovecraft terima sangat rendah dan tidak mencukupi untuk menampung corak hidupnya yang enggan menerima apa-apa pekerjaan kecuali menulis. Lovecraft pernah ditawarkan jawatan editor majalah Weird Tales, tetapi menolak, kerana menerimanya bermaksud dia harus berpindah ke Chicago dan berada jauh dari Providence. Lovecraft hanya berpindah sekali ke New York pada 1924 apabila dia berkahwin dengan Sonia Haft Green (perkahwinan ini tidak kekal dan mereka tidak pernah mendapat anak). Keberadaan Lovecraft di New York hanya mengukuhkan lagi sentimen perkauman dalam dirinya terhadap golongan imigran dan ia melimpah masuk ke dalam cerpen seperti He dan The Horror at Red Hook. Bersama Rudyard Kipiling dan Joseph Conrad, Lovecraft menanggung dosa perkauman sehingga ke hari ini, ibarat parut yang tidak boleh dipadamkan.

            Namun gergasi yang menggoncang dunia sering kali mencipta imaginasi dan pemikiran mereka dalam kegelapan berbanding di bawah cahaya moraliti sesuatu zaman. Martin Heidegger adalah ahli falsafah paling berpengaruh di abad kedua puluh, namun pada masa sama dia juga mendukung ideologi Nazi, dan tidak pernah membuat pemohonan maaf selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.  Justeru, dalam kita menilai dan menghukum kehadiran seekor gergasi, adakah kita patut memandang pada kuku, taring, dan wajah ngerinya, atau kita patut memandang pada monumen-monumen lama yang diruntuhkan dan dunia baru yang diciptakan?

            Menurut Michael Moorcock: “Cerita ajaib tidak mempunyai sebarang syarat khusus, dan ini adalah antara keistimewaannya jika cerita yang ingin disampaikan oleh seorang penulis tidak dapat dipersembahkan dalam bentuk konvensional. Walaupun cerita ajaib sering kali membaurkan unsur ghaib, atau membayangkan unsur ghaib, ia bukanlah suatu kewajipan.” Hal sama jika boleh dikatakan tentang cerpen-cerpen Lovecraft: bukan semuanya menekankan unsur seram, ngeri, dan horor. Cerpennya ditulis bukan untuk memeranjatkan pembaca. Pencerita Lovecraft (dan kebanyakan pencerita dalam genre cerita ajaib) sering kali berdepan atau terperangkap dalam situasi aneh, ajaib, dan membingungkan kefahaman kebiasaan kita tentang kejadian manusia, hukum alam, dan aturan kosmologi. Unsur “keajaiban” ini bertindak bukan sebagai antagonis (seperti mana ia sering berlaku dalam novel horor) tetapi menjadi pemangkin, pencetus, dan di kemuncaknya, pemusnah kepada kestabilan rasionaliti seorang pencerita.

            Kalau sastera realisme mengharmonikan hubungan keberadaan antara seorang manusia dan alam di sekelilingnya, maka sastera imaginatif mencabar hubungan tersebut.

            Lovecraft menghadirkan kehancuran atau teror kosmik dalam ceritanya melalui pelbagai cara. Antaranya adalah meruntuhkan kebergantungan manusia pada seni seperti yang kita temui dalam cerpen The Music of Erich Zann. Bahasa menjadikan kita manusia berfikir, tetapi bahasa sebagai sistem perhubungan sosial, turut memisahkan kita daripada alam. Maka jalan kembali kepada alam untuk manusia adalah melalui karya seni. Cerita Lovecraft mengisahkan pengalaman seorang sarjana filasafat yang terpesona dan tertaksub dengan mainan muzik lelaki tua eksentrik bernama Erich Zann. Secara kebetulan, dan tanpa sebarang ingatan, pencerita Lovecraft menemui pekan Rue d’Auseil yang sentiasa gelap dan sunyi di seberang sebuah jambatan berbatu hitam dengan rumah-rumah “tinggi, berbumbung tirus, usang, dan menyandar ke belakang serta menyendeng ke kiri dan ke kanan.” Dia kemudian menyewa di apartmen sama dengan Erich Zann dan hari demi hari dia mengunjungi rumah orang tua itu untuk mendengarnya main biola. Di sini, muzik yang asalnya memberikan pengalaman transendental kepada pemain dan pendengarnya, bertukar menjadi kuasa rasukan seolah-olah nota-nota muzik yang Erich Zahn mainkan adalah nyanyian dan seruan kepada dunia dari alam ghaib. Cerita ini mencapai kemuncaknya, pada suatu malam, apabila si pencerita menyaksikan persembahan paling agung Erich Zann. Apartmen itu bergegar, cermin pecah, kertas nota muzik karangan Erich Zann berterbangan, lalu si pencerita bergegas berlari ke jendela untuk menyelamatkannya.

“Namun apabila aku melihat keluar jendela, ketika lilin berdetap dan biola menjeritkan angin malam, aku tidak melihat sebuah kota di bawah sana, jalan-jalan kukenal seperti lenyap, lantas meninggalkan ruang angkasa hitam yang bergema dengan gerakan dan muzik, dan ternyata tidak ada kejadian di bumi yang boleh menjelaskan keanehan ini.”

           

Sejarah dalam cerita berjudul Rats in the Wall menjadi kubur puaka di bawah minda. Seperti The Music of Erich Zann, Lovecraft bermain dengan bunyi untuk menggerakkan cerita dan membina suasana ketakutan sehingga bukan penceritanya sahaja yang berdebar-debar dan tertanya-tanya akan misteri bunyi di dalam dinding rumah istananya, tetapi kita sebagai pembaca juga. Ternyata di bawah istana kuno ini (ia dikatakan dibina dari zaman Romawi) terdapat kuburan mayat, tulang rangka manusia, dan tikus yang banyak dan hidup dengan memamah daging orang. Istana ini bukan memelihara sejarah sebuah keluarga, tetapi ia memendamkan sejarah itu menjadi sumpahan keturunan.  

Manusia sering kali berbangga dengan sejarah dan warisan keluarga. Lalu kita menyimpan barang-barang antik, kita memelihara rumah nenek moyang, dan kita mempertahankan nama keluarga yang diberikan kepada kita sebagai anugerah terhormat. Di luar penulisan fiksyen, Lovecraft juga berbangga dengan sejarah keluarganya, malah dia sering kali menonjolkan perwatakan lelaki budiman dari abad kesembilan belas. Kebanggaan ini, malangnya, membangkitkan rasa takut dan jijik dalam diri Lovecraft terhadap orang Afrika dan Asia yang dia percaya suatu hari nanti akan bertambah ramai dan bakal mencemarkan kesucian darah bangsa kulit putih. Barangkali fiksyen adalah jalan keluar, sumber meditasi, dan mantera pembersihan rohani buat Lovecraft. Dia harus berdepan dengan ketakutan untuk menundukkan ketakutan itu. Wataknya harus terlebih dahulu mati atau diancam dengan kematian, sebelum Lovecraft sendiri dapat bangkit semula sebagai manusia yang berbeza.        

Satu lagi teknik kegemaran, bahkan sumber inspirasi, Lovecraft adalah mimpi. Dalam dunia Lovecraft mimpi bukan tangga-tangga seksualiti ke alam bawah sedar Freud. Barangkali hanya Stephen King yang percaya makhluk-makhluk asing bersayap kelawar dan berkepala sotong ciptaan Lovecraft adalah simbol ketakutannya pada wanita. Namun berdasarkan sejumlah cerpen Lovecraft yang telah dikategorikan oleh pengikutnya sebagai “Kitaran Mimpi,” kita boleh percaya mimpi adalah pintu Lovecraft ke dunia lain. Bukan untuk melarikan diri dari realiti, seperti mana sastera imaginatif sering dituduh dan dihukum oleh kesatria-kesatria moraliti dan kebenaran. Sebaliknya: Lovecraft mencipta mimpi sebagai kaedah terbaik untuk dia berdepan dengan realiti. Donald Tyson dalam buku kajiannya berjudul The Dream World of H. P. Lovecraft: His Life, His Demons, His Universe, menegaskan mimpi adalah sumber utama kepada alam imaginasi Lovecraft, dan mimpi itu berpunca daripada kitab yang Lovecraft sendiri temui dan baca dalam mimpinya iaitu Necronomicon. Justeru, kalau dunia Lovecraft sering dikenali sebagai “Mitos Cthulhu” berdasarkan label yang diberikan oleh August Darleth, Tyson mengubahnya kepada “Mitos Necronomicon.”

Kebanyakan daripada kita hidup setiap hari hanya dalam satu dunia – dunia jasmani – kerana kita percaya pada kesedaran minda. Tetapi tanggapan minda manusia sering kali lebih mengelirukan berbanding apa dia lihat di alam mimpi. Minda manusia telah diprogramkan dan dibudayakan dengan kepercayaan bahawa kebahagiaan di atas dunia ini adalah hedonistik dan akan berkekalan, walaupun selepas mati. Sementara alam mimpi berada di luar kawalan minda dan lebih dekat dan realistik dalam mengingatkan manusia kepada kebenaran paling mutlak dan menakutkan: kita semua akan mati dan meninggalkan alam jasmani. Lovecraft, melebihi mana-mana pengarang dalam sejarah kesusasteraan, mencipta mimpi, kerana itu sahaja cara dia boleh lakukan untuk menutup pintu-pintu kebenaran, kutukan, dan amaran daripada melimpah masuk ke dalam minda sedarnya.

Asalnya seorang penulis mandiri dan bawah tanah, kini H. P. Lovecraft telah berada di status klasik dan mahaguru dalam tradisi sastera imaginatif bersama Edgar Allan Poe, Jorge Luis Borges, Italo Calvino, Ray Bradbury, Arthur Machen, dan Lord Dunsany. Kesemua cerpennya telah dibukukan dalam siri tiga jilid terbitan The Library of America dan juga siri tiga jilid terbitan Penguin Classics. Legasi cerita ajaib yang Lovecraft tinggalkan masih belum dikenali mahupun diterima oleh pembaca umum di mana-mana. Namun dengan kedatangan dan revolusi cerita ajaib oleh penulis Mitos Ketiga, Lovecraft boleh tidur dengan tenang dan terus bermimpi.                   

Wednesday 19 August 2015

Memahami Cerekawala Bahagian 1


Seperti penciptaan, Tuhan, mengikut kepercayaan kita, membina segala-galanya daripada kekosongan. Masuklah alam sarwajagat dengan ketentuan tubuhnya yang tertentu, yang dapat kita fahami, sekurang-kurangnya sedikit akan duduk letaknya, dengan fizik, dan hal ini mementingkan logik atau mantik, suatu tindakan rasional, penggunaan akal dalam kita melakukan perbadingan dan mencari maksud dan makna akan setiap fenomena yang kita lihat di sekeliling, dan angkasa tika mendongak.

Dalam kefahaman Islam, memang jelas, fakulti yang menerobos ilmu dan dunia sains, menjadi dunia penuh ketentuan tambah tolak dan kepersisan rangkap rumus matematik (hal ini disindir dengan tanggap salah ala Orientalisme dalam naskhah, kemudian filem The Adventure of Baron Manchausen terhadap keunggulan, ke dan kekayaan tetapi magis dan antisains-moden Sultan Turki) dalam memahami bagaimana alam "berfungsi". Menariknya, atas penelitian begitu menekan dan mendalam ini, terdapat kumpulan, mungkin individu (seperti era Andalusia, terdapat golongan penyair homoseksual yang dipanggil alait[?], dibiarkan hidup dalam alam Islam itu tetapi tidak dipuji ataupun disokong. Perkataan ini datang daripada kata akar lat atau lut [Nabi Lut]. Penulisan tentang rasa berahi mereka tetap dibaca, malah mendapat beberapa tempat dan dipuji atas kuasa estetiknya dari segi kefahaman sastera. Kononnya, atas pengecualian dan keterbiaran kumpulan penyair inilah, berlaku gerak hedonisme dalam alam Andalusia yang membuka jalan ke arah kejatuhannya di tangan Kastila dan Sepanyol Kristian) yang membanting faham akan keadaan "memikir serius" ini dengan memilih jalan membuka dunia di awang-awangan, yang mungkin kita panggil, fantasi dalam kefahaman sastera Barat. Hikayat 1001 Malam dibentuk, menjadi cerita dalam cerita paling dibual-bualkan, dengan alam khayal atau maya (peliknya, kini, kita mengaitkan maya dengan virtual, yakni keadaan yang dibuat-buatkan benar-benar nampak atas kebenarannya kepada keberadaan realiti kita). Dunia ini menjadi menarik kerana sengaja, apabila sudah betul kenal dengan "cara alam ini bergerak", melawannya dengan keadaan yang melanggar hal itu (tidak masuk juga kepercayaan Islam terhadap alam ghaib, yakni malaikat, yang sudah tentu membuka ruang akan dunia jin, dan seterusnya), melanggar logik atau alamiah duniawi.

Pentingnya di sini, dunia tersebut semahu-mahunya adalah "cerita" dan penceritaan. Seninya adalah dalam bercerita. Cerita di sini, berkait dengan suatu pergerakan hidup atau pengalaman, yang berangkai-rangkai. Rangkaian inilah "hikayat" dan dalam hikayatlah timbulnya pelbagai cerita. Cerita ini pula dikisahkan, selalunya, dengan niat murni, menerangkan, menyampaikan moral dan pengajaran sebalik kisahnya. Begitulah.

Bagaimanakah cerita-cerita ini dilihat sebagai suatu gelora sastera, khususnya prosa dalam persuratan Arab Islam, atau hanya dilihat sebagai hiburan waktu senggang, hal ini perlu diperjelaskan dan dicari. Kerana kita tahu, kisah-kisah dalam tradisi Islam, khususnya dalam dakwah, diteruskan, seperti mana golongan falsafah Yunani menggunakannya, atau Mahaguru alam Tao dan Confucius, mahupun Buddha dan Hindu. Dalam hal ini, ahli Sufi atau Tuan Guru bagi satu-satu tariqat, selalu menggunakan "cerita" yang terdapat juga kisah-kisah nabi, sahabat, wali (riwayat) dan juga kisah-kisah dari alam lain, serta haiwan binatang yang bercakap-cakap (terdapat sebuah hikayat lama, Kalilah wa Dimmah yang menghimpunkan kisah pelbagai binatang yang kononnya diminta kumpul oleh Iskandar Zulkarnain, yang diterjemahkan dan sekali diadaptasi daripada Panchatantra, persuratan India) sebagai penyampaian kisah moral, atau lebih jauh daripada itu, untuk menyampaikan suatu gagasan atau tangkapan renungan terhadap suatu perhitungan akan perilaku dan pemikiran. Kita faham benar, dalam Islam, setiapnya, walau sekecil-kecilnya (contoh kisah jari kelengkeng yang menjadi jari paling disayangi Tuhan) memberikan "manfaat". Tiada apa satu, walaupun kopi (ramai ahli Sufi dan para sarjana lama menggunakan ini untuk bangun malam, baik beribadah atau menulis kitab yang panjang sehingga subuh) atau duduk-duduk menikmati, menjadi suatu petanda dan penghayatan alam dengan Tuhan. Maka setiapnya itu diperlihat sebagai memberi suatu tanda perkembangan apabila disampaikan, seperti mahunya al-Quran sebagai sumber asas utama dalam penyampaian atas sifat sakral dan asasnya.

Dalam hal ini, minda manusia, khusus apabila sampai pada Barat (dan dilihat di sini, khusus Sepanyol yang mendekati alam Andalusia yang begitu pesat berkembang dengan sastera dan renungan ilmu, yang dapat menangkap dan menterjemahkan banyak kisah dan cerita lalu dijadikan kisah realiti mereka, dan hal ini dipusing dan dicanai berdekad lama, sehingga Cervantes dapat menghasilkan hikayat asli terbaik dalam dunia Sepanyol, Don Quixote) yang melihatkan ketiadaan untuk hasil karya itu memberi manfaat rohani atau akal tetapi lebih kepada perasaan dan edan cumbu yang berkaitan dengan rasa, membina dunia-dunia baharu yang menarik, mengkahayalkan, dan mempesona.

Maka dari sinilah, dengan kehebatan tradisi Barat dengan cerita naga, kefahaman dualisme (kisah lama Barat selalunya tentang pertentangan cahaya dengan kegelapan), magis dan dewal-dewa lama, terbentuklah mitos dan pengisahan baharu, membina dunia-dunia baharu yang menyampaikan, dan sebenarnya turut menyampaikan manfaat jika mereka mencari kemanfaatnya dalam hal dan perilaku ceritanya (sepertimana Alice in the Wonderland dikisahkan untuk bermain-main dan sekali gus menerangkan keindahan algoritma dan keberangkalian).

Menariknya, mengikut kata David Brin, dalam mencari kemanfaatan untuk renungan manusia dan memahami manusiawinya, fiksyen sains, yang merupakan antara anak daripada pecahan "genre bonda", yakni fantasi (kerana setiap budaya, termasuk kita, terbina daripada cerita-cerita alam maha besar yang lebih besar daripada kekerdilan kita, seperti dunia dewa dalam alam kita, atau epik Gilgamesh dengan pelbagai perubahan alam dan makhluknya dan pengaruh  dan kedengkian dewa terhadap manusia dalam Illiad) memilih untuk keluar daripada cerekawala besar itu, dan memilih untuk menganuti "perubahan". Perubahan di sini, mengubah cara manusia melihat, untuk kebaikan dan keburukan masa hadapan. Perubahan di sini, berlingkar dalam fakulti yang paling wajib dalam dunia fiksyen sains, yakni persoalan "Apa kata jika?" (what if?). Menariknya, bagi Brin, banyak unsur fiksyen sains yang turut mengambil daripada cerekawala atau hikayat atau mitos atau fantasi (alam baharu penuh makhluk asing yang bersikap seperti dewa, secara contoh paling lemah), tetapi pemusatan fiksyen sains lebih berhubung dengan keadaan manusia itu sendiri memikirkan akan masa hadapannya, realitinya, pengalamannya terhadap persoalan-persoalan "apa kata jika?" berlaku, yang menghasilkan, sepatutnya, perubahan terhadap suatu pemikiran/gagasan baharu dalam cara manusia melihat alam "baharu" ini (novum) atau berjaga-jaga dengan keadaan baharunya (tema ini paling dan amat mudah diambil oleh penulis, malah menjadi tema paling popular, yakni berasa risau atau caution terhadap masa depan dan perilaku serba baharu, yang dibayangkan dengan baik sekali oleh Frankenstein, or The Modern Prometheus), kerana kekuatan fiksyen sains adalah untuk "belajar daripada kesilapan" sebelum kesilapan atau perubahan itu berlaku, namun dengan kesedaran tinggi, bahawa, manusia terus sahaja "berubah" dan perubahan yang membawa manusia ke arah masa depan yang lebih baik, bermanfaat.

"Science fiction contemplates the possibility of successfully defying fate, creating a better future through our own efforts."

Sunday 16 August 2015

Caitlín R. Kiernan & Mitos Mesir

 
Caitlín R. Kiernan
 
Mesir adalah imej latar paling berpengaruh dalam imaginasi pengarang cerekawala Barat. Kedua mungkin China dan Jepun. H. P. Lovecraft dan Algernon Blackwood masing-masing pernah menulis cerita yang mempunyai piramid, mumia, unta, dan padang pasir. Lovecraft kita tahu membesar dengan membaca Hikayat Seribu Satu Malam dan Mesir adalah alam eksotik dan oriental terdekat yang menjanjikan kisah perlawanan pedang dan rasukan firaun dari alam maut. Dan bukankah sahabat dan ulama Lovecraft dari alam mimpi adalah seorang lelaki Arab bernama Abdullah al-Hazrad?  
 
Caitlín R. Kiernan adalah antara pengarang cerekawala kontemporari yang meneruskan tradisi ini. Unsur fantasi dan fairy lebih berakar dalam imaginasi Kiernan berbanding horor dan ini mendekatkan tulisan Kiernan dengan tradisi Lord Dunsany berbanding Lovecraft mahupun Blackwood.  Selain itu Kiernan boleh memukaukan pembacanya dengan penguasaan bahasa yang lirik; kualiti yang jarang ditemui dalam kebanyakan tulisan pengarang sastera imaginatif. Pushing the Sky Away (Death of a Blasphemer) mempunyai latar Mesir dan mengisahkan seorang pencuri yang berada di ambang kematian. Dia menceroboh masuk ke dalam makam firaun dan terkena perangkap samar. Kita kemudian mendapat tahu pencuri ini (seorang perempuan) telah menjeratkan dirinya dalam konflik antara makhluk Jin dan makhluk Ghul:
 
"When the australopithecine progenitors of Homo sapiens still struggled to master the most simple tools, the Djinn and the Ghūl waged a terrible war in the wastes of what geographers would one day name Arabia. The latter were defeated and were cast down into the Underworld at the very threshold of Dream. But not before they’d sacked temples and reliquaries, and so they departed this world with many objects holy to their foes. In exile, at least they could gloat over these small victories. In the vaults below the plateau of Thok, the ghouls hid their plunder, and in time even they forgot what they’d stolen, until a sleeper came among them to thieve from thieves. But in this waking world, the hounds of Pnath may only reach so far and no farther. Here, they are bound to the necropoleis we have provided them, never meaning to do so. They fear the sun, and are loathe even to walk beneath the moon."
 
Jin memang benda normal untuk kita di Asia Tenggara. Tetapi apakah jin yang orang Barat bayangkan? Bahasa Kiernan dalam cerpen ini sentiasa memikat saya dari mula hingga akhir, terutma sekali imej cahaya dan matahari yang berada di telapak tangan pencuri itu. Ia mengingatkan saya kepada sebuah puisi oleh Latiff.
 
Cerpen penuh Kiernan boleh dibaca di sini.
     

Friday 7 August 2015

Robert Aickman: The Swords




"My first experience?"

Saya harus katakan ya kepada soalan di baris pertama cerpen Robert Aickman The Swords. Ia adalah pengalaman pertama saya membaca dan mengenali dunia aneh pengarang dari England ini. Kalau bukan kerana Neil Gaiman, barangkali nama Aickman tidak akan pernah muncul di fikiran saya, dan ternyata antara sumbangan penting seorang penulis kepada khalayak sastera adalah menjadi juru bicara serta sahabat kepada karyawan-karyawan lama yang sudah tiada dan mungkin terkubur di ruang marginal kesusasteraan.   

Justeru saya berbesar hati untuk memperkenalkan satu demi satu cerpen Aickman dalam bukunya berjudul Cold Hand In Mine (diterbitkan semula dalam edisi murah oleh Faber & Faber pada tahun 2014). Perbincangan ini akan memakan masa dan satu catatan blog akan menjadi terlalu panjang untuk mengupas semua cerpen sekaligus. Maka selepas ini Rumah Cerekawala akan terus membuka pintu berbeza ke dunia Aickman. 

Pertama adalah cerpen The Swords. Kisah pengalaman menjadi dewasa seorang remaja lelaki di England. Seksualiti sering kali adalah halangan dan godaan kepada hero-hero Aickman. Rahsia tubuh dan rahsia hati seorang perempuan adalah ibarat rumah agam usang di pinggir sebuah kota. Dari luar ia mengumpan minat dan tanda tanya; tetapi masuk ke dalam, hati seorang perempuan adalah misteri dan keajaiban kepada seorang lelaki. 

Di cerpen ini pemuda Aickman sampai ke sebuah pesta di pekan kecil bernama Wolverhampton. Kebosanan adalah dorongan yang membawa pemuda ini keluar dari rumah. Tetapi berapa ramai lelaki yang dibikin resah dan gundah nafsunya akibat kebosanan? Pemuda ini merewang-rewang di pesta itu tanpa mengetahui apa atau siapa yang boleh menarik minatnya. Sehingga dia menemui sebuah pondok yang terletak agak asing daripada semua orang.

"It was a square tent of very dirty red and white striped canvas, and over the crumpled entrance flap was a rough-edged, dark painted, horizontal board, with written on it in faint gold capital letters THE SWORDS. That was all there was. Night was coming fast, but there was no light outside the tent and none shining through from inside. You might have thought it was a store of some kind."

Aickman melakukan deskripsi tanpa sebarang kesan drama atau kegelisahan seperti yang sering ditemui dalam cerita Poe atau Lovecraft. Dia seperti sengaja menyimpan kad terbaik daripada pengetahuan pembaca. Aickman mengklasifasikan tulisannya sebagai "strange stories" atau cerita aneh. Ternyata tekstur cerita anehnya berbeza dengan cerita ajaib Lovecraft. Sumber ketakutan dalam dunia Lovecraft sentiasa jelas dan merasuki penceritanya dari mula hingga hujung cerita. Sementara keanehan dalam dunia Aickman datang entah dari mana tanpa sebarang penjelasan.

Pemuda Aickman melihat persembahan seorang gadis ditikam pedang oleh penonton-penonton lelaki yang berada di dalam pondok itu.

"The volunteer seemed to me to tremble for a moment, and then plunged the sword right into the girl on the chair. As he was standing between me and her, I could not see where the sword entered, but I could see that the man seemed to press it right in, because almost the whole length of it seemed to disappear. What I could have no doubt about at all was the noise of the sword made. A curious thing was that we are so used to at least the idea of people being struck through with swords, that, even though, naturally, I had never before seen anything of the kind, I had no doubt at all of what the man had done. The noise of the sword tearing through the flesh was only what I should have expected. But it was quite distinct even above the hissing of the Tilley. And quite long drawn out too. And horrible."

Si gadis selamat setiap kali dia ditikam dan habuan kepada penonton lelaki adalah kucupan bibirnya. Bagaimana ia boleh berlaku? Kita tidak tahu. Aickman menutup tirai dan meneruskan cerita ke babak seterusnya. Kita yang masih bingung dan terpana di kerusi penonton hanya mampu menarik nafas yang dalam.

 

Wednesday 29 July 2015

Azazil Bangun

Saya merasakan, ruang baik yang disediakan oleh Wan ini (yang saya baru sedar kewujudannya!) menjadi platform yang terbaik untuk saya menerangkan, walaupun hal ini nampak remeh atau keadaannya memperlihatkan saya berlagak dan cuba menegakkan benang yang basah terhadap apa-apa pandangan yang dilakukan terhadap novel saya, satu-satunya, yang mungkin selepas ini, tidak akan ditulis sebegitu serupa dan berupa itu lagi sedari saya masih hidup di dunia ini (kalau saya hidup di dunia kembar atau selari atau kayangan pula, itu kisah yang lain), Gugurnya Azazil.

Sejarah Gugurnya Azazil sebenarnya panjang. Awalnya, idea penulisan kisah itu berkaitan dengan tiga perkara besar yang menjadi kegilaan saya sewaktu remaja sekolah. Saya amat senang mendampingi kisah bukan fiksyen akan penyiasatan dunia kultus (occult), khususnya sihir hitam. Sesiapa yang pernah mengikuti tulisan H.P. Lovecraft (yang selalunya, mengikut era saya dalam 80-an, bermula, baik melalui Christopher Pike, Clive Barker, mahupun Stephen King) dan segala pegangan aqidahnya dengan pengembalian the fallen ones dan kultus The Book of Eibon, mahu tidak mahu, akan mengambil masa untuk menelaah dunia fiksyen gelap Ira Levin ataupun Dennis Wheatley, yang akan membawa kita kepada tulisan-tulisan penyiasatan dan pembongkaran akan rahsia dunia penyihiran dan kumpulan Setan di Britain. Begitulah era remaja saya, sewaktu orang sibuk menelaah buku rujukan PMR di perpustakaan, di Perpustakaan Peringatan Kuala Lumpur (kini Perpustakaan Kuala Lumpur), saya sibuk mencari kisah-kisah siasatan penuh misteri, gelap dan jalan mati ini.

Pada masa yang sama, era itu ialah era Mona Fandey dan suaminya membunuh (atau mengorbankan) seorang Datuk yang percaya kepada dunia sihir (hitam) atau alam ghaib (putih) untuk memperkasakan diri dalam kerjaya politik. Kes ini menjadi sensasi besar dalam pertengahan 90-an. Pada masa itulah, garapan kisah "korban kepada kepala syaitan" tampaknya berlaku juga dalam alam Melayu-Asia. Hal ini juga membawa kepada dua lagi insiden besar, satunya, kumpulan ajaran sesat Al-Arqam (dan kaitannya dengan persediaan untuk menunggu Imam Mahadi) dan sebuah lagi berlaku di asrama saya, di hadapan mata saya sendiri, bagaimana, seorang budak yang tidak ada apa-apa maksud, menjadi "orang lain", dikatakan "ditegur" atau "dirasuk", sehingga budak itu terpaksa dikeluarkan dari sekolah (terdapat khabar angin kalangan pelajar, budak itu sebenarnya dicabul secara seksual dan fizikal oleh seniornya).

Selepas habis SPM, saya mula menukilkan suatu carta akan kisah ini, yang berkait dengan tiga perkara, (1) kultus hitam di Malaysia yang bersongkol secara besar-besaran dan senyap dengan beberapa kumpulan syaitan lain di seluruh negara, menunggu kehadiran (2) Dajal laknatullah, yang pada masa itu, bermula beberapa siri (3) rasukan yang berlaku di serata bandar Malaysia. Pada masa itu juga, terdapat suatu imej, seakan salib/pangkah, di atas KLCC, apabila jet pejuang kita menggempur sesuatu yang kelihatan seperti jatuh dari langit.

Imej itulah, yang masih kekal dan selamat tersemat dalam Gugurnya Azazil sekarang, yang sudah berubah wajahnya kepada wajah fiksyen sains.

Bagaimanakah hal, yang begitu gelap dan seram (waktu itu, saya agak berangan-angan nak menulis macam Stephen King) itu berubah kepada hal yang lebih memerlukan teori dan fakta/hipotesis saintifik? Hal ini berlaku, pada awal pembabitan saya dalam dunia penulisan dan penerbitannya, era sewaktu Fixi dengan segala gelumang darah dan setannya dikeluarkan daripada kotak Pandora belum wujud lagi, dan dunia penerbitan, digerakkan oleh jiwa-jiwa kecil dan ahli dogma dan moralis. Pada masa itu lagi, saya menyedari, kisah setan-Dajal-exorcist dengan gaya meniti kiamat skala global itu, tidak akan mendapat tempat dan menjadi suatu cemuhan besar oleh para penerbit. Masa itu juga, novel kecil tetapi seronok bagi saya, JIAN, dengan niat awalnya sebagai "novel pertama kita fasal zombi" dihancur-hancurkan oleh penerbit waktu itu. Pada masa itulah, saya mempelajari, dengan pahit sekali, akan maksud "nilai murni".

Daripada situ, saya mula meletakkan pada diri saya, Fadz, kau nampaknya kena tinggalkan dunia yang kau tahu dan kenali dunia yang kau tidak pernah tahu. Pada masa itu, Faisal Tehrani baru keluar dengan novel hebatnya, 1515, dan saya sedari, ah, itu yang penerbit dan masyarakat mahukan  dan gendong rupanya. Dan, saya berubah dan menukar kulit selepas itu (walaupun banyak diri sebenar saya, suka atau tidak, Ainunl, masih wujud dalam lantang, seronok, dan semberono tontonfilem).

Saya mengaku, dengan niat yang bukan murni, sebenarnya, penulisan novel ini seakan-akan suatu parodi atau cemikan saya terhadap "suatu bentuk syarat dan penentuan nilai", walaupun tidak seekstrem yang dilakukan oleh Buku Hitam (kerana memang saya tetap mahukan novel ini diterbitkan oleh penerbit perdana). Malah, penulisannya menjadi begitu "mencubit", khusus pada seorang editor di sebuah penerbitan yang mencemik saya apabila mendengar kisah ringkas novel ini, "Kisah macam ni untuk budak-budak sekolah saja, tak usahlah perlekehkan minda orang dewasa." Saya mengaku, saya begitu tersinggung dengan hal itu. Perasaan tidak puas hati itulah, yang saya lemparkan dalam novel ini (mungkin sebab itulah Rebecca menyatakan bahasa novel ini terlalu keras dan kaku) dengan segala sejarah yang saya perlu lalui, cemikan, buat itu buat ini, dan "nilai murni".

Saya tahu, ini sajalah, ini kalilah, sahaja, saya akan menulis sebegini, selepas ini, saya takkan kembali lagi.

Novel ini sebenarnya suatu cemikan besar terhadap sayembara kita, khusus sayembara tersebut, yang menentukan "apa yang boleh dan tidak boleh" terhadap luasnya langit alam fiksyen sebenarnya. Banyak inside jab atau self parody yang dilakukan, bukan sahaja mempersendakan saya, penulis fiksyen sains sendiri, tetapi alam penulisannya dan pandangan orang terhadapnya. Ada beberapa "strategi" yang dilakukan. Awal-awal lagi, kerana SEMUA PENULIS berlumba hendak novelnya keluar untuk KOMSAS. Maka, pada awal kisah novel ini lagi, dengan sengaja dan babitan plot, budak sekolah itu keluar dari sekolah(!), memonteng, mengikut belakang pagar sekolah (maksudnya, tak mungkinlah dengan sedar, novel ini, boleh dipilih untuk KOMSAS, duh!).

Daripada situ, bermulalah beberapa senda gurau saya kepada bayangan, impian, harapan dan taruhan murni begitu indah nan tulus bersih, yang kononnya, perlu ada dalam mana-mana penulis fiksyen sains tempatan. Dua antaranya, dengan sengaja, ialah sikap musuh selindung ialah Barat-Amerika (the biggest nemesis of all kononnya), yang mana dalam novel ini, jika orang sedar atau tidak, musuh selindung yang paling jahat, ialah diri kita sendiri (saya mempercayai petikan sajak Muhammad Haji Salleh yang saya masukkan dalam JIAN, musuh kita ialah diri kita sendiri). Dalam hal ini, kerajaan Malaysia, yang menyelindungi Projek Azazil tersebut. Semua ini dilakukan dengan ambiguiti yang sedar (dan ini memerangkap pembaca yang menyatakan strukturnya mengelirukan).

Suatu lagi ialah agama. Dengan sengajanya, saya menyoal kembali sikap kita yang, walaupun niatnya baik, melihat diri hollier than thou terhadap pembaca, lalu langsung menjadi "pendakwah" yang akan mengubah isi hati pembacanya, khusus dalam hal keagamaan. Saya menyatakan begini, kerana cukup pilu dan muntah membaca, terlalu banyak hasil karya kontemporari muda yang mengajar-mengajar-mengajar secara didaktik. Oleh sebab itu, dalam novel ini, dengan sengaja sekali lagi, protagonisnya, yang berniat baik, mengajar agama, memperkenalkan agama, hasilnya, manusia yang ingin didekatinya itu menyembahnya pula (ini mengambil sedikit naratif besar riwayat nabi) sebagai dewa, memusingkan maksud "murni" tadi, malah dengan berani, memaparkan kemenangan kumpulan ini, sambil membunuh "hasil dakwah" protagonis tadi di hadapan matanya untuk suatu "pengorbanan darah" untuk dirinya sendiri! Ia tidak berakhir dengan itu, ambiguiti lagi berlaku apabila kita tidak tahu, sama ada kumpulan sesat ini, berjaya habis (kita dipaparkan kejayaan mereka) atau turut hancur bersama kerajaan kota yang dihancurkannya. Kita dibiarkan hal ini dengan tanda tanya yang panjang, yang sengaja dibiarkan. 

Bagaimanakah manusia hendak mempelajari sejarah, yang sudah terhampar di hadapannya, jika dia sudah pun tahu kalah dan menangnya. Jika kalah, dia tetap akan mengutuk dan menyalahi keturunannya (inferiority complex) sepertimana orang masih mengulang kisah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan kehebatan Portugis yang menundukkannya. Jika menang, dia tetap akan membesar-besarkan diri (ethnocentricism) tanpa melihat kulat dan parasit yang sedang memakan dirinya sebelum rebah. Mungkin, dengan ambiguiti, dengan sedikit pengenalan dan sedutan yang kita tahu tentang sejarah, patut, membuat kita insaf untuk membaiki diri kita (agar tidak mengulangi sejarah) atau memberi kesedaran jati diri (agar kita sekurang-kurangnya tahu akar kita dan percaya dengan akar itu).

Dalam semua hal inilah, Syams Merah, dengan intipan dan sedutan rentasan masa (dengan sengaja sekali lagi, tema ini merupakan tema paling bajingan dalam dunia fiksyen sains, kerana bermain dengan banyak kerelatifan dan ketidaktentuan, yang kadang-kadang menghimpit pada kesudahan melanggar logik fizik), menjadi "reset button" terbesar yang menyapu sepenuhnya sindiran dan persangkaan yang ada dalam novel ini. Terletaklah kepada diri kita sendiri, untuk menjadi seorang romantis dan pejuang seperti Azizul, yang masih percaya dengan nilai murni dan dakwah pengajaran, menjadi seperti hollier than thou Reza yang berlagak semua tahu dan semua pandai dan semua jawapan di hujung jarinya, atau manusia pasif, yang hanya membaca, dan mengikut, menunggu dengan reda dan sabar untuk Syams Merah menyedutnya ke dalam oblivion, lalu hilang, sampai bila-bila, ke dalam titik hitam.