Wednesday, 29 July 2015

Azazil Bangun

Saya merasakan, ruang baik yang disediakan oleh Wan ini (yang saya baru sedar kewujudannya!) menjadi platform yang terbaik untuk saya menerangkan, walaupun hal ini nampak remeh atau keadaannya memperlihatkan saya berlagak dan cuba menegakkan benang yang basah terhadap apa-apa pandangan yang dilakukan terhadap novel saya, satu-satunya, yang mungkin selepas ini, tidak akan ditulis sebegitu serupa dan berupa itu lagi sedari saya masih hidup di dunia ini (kalau saya hidup di dunia kembar atau selari atau kayangan pula, itu kisah yang lain), Gugurnya Azazil.

Sejarah Gugurnya Azazil sebenarnya panjang. Awalnya, idea penulisan kisah itu berkaitan dengan tiga perkara besar yang menjadi kegilaan saya sewaktu remaja sekolah. Saya amat senang mendampingi kisah bukan fiksyen akan penyiasatan dunia kultus (occult), khususnya sihir hitam. Sesiapa yang pernah mengikuti tulisan H.P. Lovecraft (yang selalunya, mengikut era saya dalam 80-an, bermula, baik melalui Christopher Pike, Clive Barker, mahupun Stephen King) dan segala pegangan aqidahnya dengan pengembalian the fallen ones dan kultus The Book of Eibon, mahu tidak mahu, akan mengambil masa untuk menelaah dunia fiksyen gelap Ira Levin ataupun Dennis Wheatley, yang akan membawa kita kepada tulisan-tulisan penyiasatan dan pembongkaran akan rahsia dunia penyihiran dan kumpulan Setan di Britain. Begitulah era remaja saya, sewaktu orang sibuk menelaah buku rujukan PMR di perpustakaan, di Perpustakaan Peringatan Kuala Lumpur (kini Perpustakaan Kuala Lumpur), saya sibuk mencari kisah-kisah siasatan penuh misteri, gelap dan jalan mati ini.

Pada masa yang sama, era itu ialah era Mona Fandey dan suaminya membunuh (atau mengorbankan) seorang Datuk yang percaya kepada dunia sihir (hitam) atau alam ghaib (putih) untuk memperkasakan diri dalam kerjaya politik. Kes ini menjadi sensasi besar dalam pertengahan 90-an. Pada masa itulah, garapan kisah "korban kepada kepala syaitan" tampaknya berlaku juga dalam alam Melayu-Asia. Hal ini juga membawa kepada dua lagi insiden besar, satunya, kumpulan ajaran sesat Al-Arqam (dan kaitannya dengan persediaan untuk menunggu Imam Mahadi) dan sebuah lagi berlaku di asrama saya, di hadapan mata saya sendiri, bagaimana, seorang budak yang tidak ada apa-apa maksud, menjadi "orang lain", dikatakan "ditegur" atau "dirasuk", sehingga budak itu terpaksa dikeluarkan dari sekolah (terdapat khabar angin kalangan pelajar, budak itu sebenarnya dicabul secara seksual dan fizikal oleh seniornya).

Selepas habis SPM, saya mula menukilkan suatu carta akan kisah ini, yang berkait dengan tiga perkara, (1) kultus hitam di Malaysia yang bersongkol secara besar-besaran dan senyap dengan beberapa kumpulan syaitan lain di seluruh negara, menunggu kehadiran (2) Dajal laknatullah, yang pada masa itu, bermula beberapa siri (3) rasukan yang berlaku di serata bandar Malaysia. Pada masa itu juga, terdapat suatu imej, seakan salib/pangkah, di atas KLCC, apabila jet pejuang kita menggempur sesuatu yang kelihatan seperti jatuh dari langit.

Imej itulah, yang masih kekal dan selamat tersemat dalam Gugurnya Azazil sekarang, yang sudah berubah wajahnya kepada wajah fiksyen sains.

Bagaimanakah hal, yang begitu gelap dan seram (waktu itu, saya agak berangan-angan nak menulis macam Stephen King) itu berubah kepada hal yang lebih memerlukan teori dan fakta/hipotesis saintifik? Hal ini berlaku, pada awal pembabitan saya dalam dunia penulisan dan penerbitannya, era sewaktu Fixi dengan segala gelumang darah dan setannya dikeluarkan daripada kotak Pandora belum wujud lagi, dan dunia penerbitan, digerakkan oleh jiwa-jiwa kecil dan ahli dogma dan moralis. Pada masa itu lagi, saya menyedari, kisah setan-Dajal-exorcist dengan gaya meniti kiamat skala global itu, tidak akan mendapat tempat dan menjadi suatu cemuhan besar oleh para penerbit. Masa itu juga, novel kecil tetapi seronok bagi saya, JIAN, dengan niat awalnya sebagai "novel pertama kita fasal zombi" dihancur-hancurkan oleh penerbit waktu itu. Pada masa itulah, saya mempelajari, dengan pahit sekali, akan maksud "nilai murni".

Daripada situ, saya mula meletakkan pada diri saya, Fadz, kau nampaknya kena tinggalkan dunia yang kau tahu dan kenali dunia yang kau tidak pernah tahu. Pada masa itu, Faisal Tehrani baru keluar dengan novel hebatnya, 1515, dan saya sedari, ah, itu yang penerbit dan masyarakat mahukan  dan gendong rupanya. Dan, saya berubah dan menukar kulit selepas itu (walaupun banyak diri sebenar saya, suka atau tidak, Ainunl, masih wujud dalam lantang, seronok, dan semberono tontonfilem).

Saya mengaku, dengan niat yang bukan murni, sebenarnya, penulisan novel ini seakan-akan suatu parodi atau cemikan saya terhadap "suatu bentuk syarat dan penentuan nilai", walaupun tidak seekstrem yang dilakukan oleh Buku Hitam (kerana memang saya tetap mahukan novel ini diterbitkan oleh penerbit perdana). Malah, penulisannya menjadi begitu "mencubit", khusus pada seorang editor di sebuah penerbitan yang mencemik saya apabila mendengar kisah ringkas novel ini, "Kisah macam ni untuk budak-budak sekolah saja, tak usahlah perlekehkan minda orang dewasa." Saya mengaku, saya begitu tersinggung dengan hal itu. Perasaan tidak puas hati itulah, yang saya lemparkan dalam novel ini (mungkin sebab itulah Rebecca menyatakan bahasa novel ini terlalu keras dan kaku) dengan segala sejarah yang saya perlu lalui, cemikan, buat itu buat ini, dan "nilai murni".

Saya tahu, ini sajalah, ini kalilah, sahaja, saya akan menulis sebegini, selepas ini, saya takkan kembali lagi.

Novel ini sebenarnya suatu cemikan besar terhadap sayembara kita, khusus sayembara tersebut, yang menentukan "apa yang boleh dan tidak boleh" terhadap luasnya langit alam fiksyen sebenarnya. Banyak inside jab atau self parody yang dilakukan, bukan sahaja mempersendakan saya, penulis fiksyen sains sendiri, tetapi alam penulisannya dan pandangan orang terhadapnya. Ada beberapa "strategi" yang dilakukan. Awal-awal lagi, kerana SEMUA PENULIS berlumba hendak novelnya keluar untuk KOMSAS. Maka, pada awal kisah novel ini lagi, dengan sengaja dan babitan plot, budak sekolah itu keluar dari sekolah(!), memonteng, mengikut belakang pagar sekolah (maksudnya, tak mungkinlah dengan sedar, novel ini, boleh dipilih untuk KOMSAS, duh!).

Daripada situ, bermulalah beberapa senda gurau saya kepada bayangan, impian, harapan dan taruhan murni begitu indah nan tulus bersih, yang kononnya, perlu ada dalam mana-mana penulis fiksyen sains tempatan. Dua antaranya, dengan sengaja, ialah sikap musuh selindung ialah Barat-Amerika (the biggest nemesis of all kononnya), yang mana dalam novel ini, jika orang sedar atau tidak, musuh selindung yang paling jahat, ialah diri kita sendiri (saya mempercayai petikan sajak Muhammad Haji Salleh yang saya masukkan dalam JIAN, musuh kita ialah diri kita sendiri). Dalam hal ini, kerajaan Malaysia, yang menyelindungi Projek Azazil tersebut. Semua ini dilakukan dengan ambiguiti yang sedar (dan ini memerangkap pembaca yang menyatakan strukturnya mengelirukan).

Suatu lagi ialah agama. Dengan sengajanya, saya menyoal kembali sikap kita yang, walaupun niatnya baik, melihat diri hollier than thou terhadap pembaca, lalu langsung menjadi "pendakwah" yang akan mengubah isi hati pembacanya, khusus dalam hal keagamaan. Saya menyatakan begini, kerana cukup pilu dan muntah membaca, terlalu banyak hasil karya kontemporari muda yang mengajar-mengajar-mengajar secara didaktik. Oleh sebab itu, dalam novel ini, dengan sengaja sekali lagi, protagonisnya, yang berniat baik, mengajar agama, memperkenalkan agama, hasilnya, manusia yang ingin didekatinya itu menyembahnya pula (ini mengambil sedikit naratif besar riwayat nabi) sebagai dewa, memusingkan maksud "murni" tadi, malah dengan berani, memaparkan kemenangan kumpulan ini, sambil membunuh "hasil dakwah" protagonis tadi di hadapan matanya untuk suatu "pengorbanan darah" untuk dirinya sendiri! Ia tidak berakhir dengan itu, ambiguiti lagi berlaku apabila kita tidak tahu, sama ada kumpulan sesat ini, berjaya habis (kita dipaparkan kejayaan mereka) atau turut hancur bersama kerajaan kota yang dihancurkannya. Kita dibiarkan hal ini dengan tanda tanya yang panjang, yang sengaja dibiarkan. 

Bagaimanakah manusia hendak mempelajari sejarah, yang sudah terhampar di hadapannya, jika dia sudah pun tahu kalah dan menangnya. Jika kalah, dia tetap akan mengutuk dan menyalahi keturunannya (inferiority complex) sepertimana orang masih mengulang kisah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan kehebatan Portugis yang menundukkannya. Jika menang, dia tetap akan membesar-besarkan diri (ethnocentricism) tanpa melihat kulat dan parasit yang sedang memakan dirinya sebelum rebah. Mungkin, dengan ambiguiti, dengan sedikit pengenalan dan sedutan yang kita tahu tentang sejarah, patut, membuat kita insaf untuk membaiki diri kita (agar tidak mengulangi sejarah) atau memberi kesedaran jati diri (agar kita sekurang-kurangnya tahu akar kita dan percaya dengan akar itu).

Dalam semua hal inilah, Syams Merah, dengan intipan dan sedutan rentasan masa (dengan sengaja sekali lagi, tema ini merupakan tema paling bajingan dalam dunia fiksyen sains, kerana bermain dengan banyak kerelatifan dan ketidaktentuan, yang kadang-kadang menghimpit pada kesudahan melanggar logik fizik), menjadi "reset button" terbesar yang menyapu sepenuhnya sindiran dan persangkaan yang ada dalam novel ini. Terletaklah kepada diri kita sendiri, untuk menjadi seorang romantis dan pejuang seperti Azizul, yang masih percaya dengan nilai murni dan dakwah pengajaran, menjadi seperti hollier than thou Reza yang berlagak semua tahu dan semua pandai dan semua jawapan di hujung jarinya, atau manusia pasif, yang hanya membaca, dan mengikut, menunggu dengan reda dan sabar untuk Syams Merah menyedutnya ke dalam oblivion, lalu hilang, sampai bila-bila, ke dalam titik hitam.

No comments:

Post a Comment