Sunday 10 April 2011

Rutin Penulisan Joseph Sheridan Le Fanu

Penulisan cerita hantu bermula di Eropah. Di England sahaja boleh dikatakan hampir semua penulis-penulis besarnya pernah menulis cerita hantu. Dari Charles Dickens, ke Henry James, Oscar Wilde, Virginia Woolf, dan seterusnya A. S. Byat, Angela Carter dan Murial Spark. Di German ia mendapat sentuhan genius E. T. A. Hoffman. Di Amerika ia bermula dengan Edgar Allan Poe, tetapi tradisi yang diciptakan olehnya berkembang menjadi genre yang lebih besar iaitu cerita supernatural. Antara semua penulis yang telah disebutkan, tidak ada yang dapat bersaing dengan Joseph Sheridan Le Fanu, penulis kelahiran Ireland, yang memang mengkhususkan penulisannya kepada cerita-cerita hantu.

Sebelum menemui Le Fanu, saya telah terlebih dahulu membaca cerita-cerita hantu yang ditulis oleh Henry James, Murial Spark, dan Angela Carter. Pengalaman membaca cerita hantu agak berbeza dengan apabila kita membaca cerita seram. H. P. Lovecraft misalnya. Dalam cerita seram dunia yang diciptakan dalam cerita itu sendiri membangkitkan suatu perasaan gerun; ia merasuk sudut-sudut yang rapuh dan halus dalam diri seorang manusia. Dalam cerita hantu kita diajak lebih untuk melihat bayangan roh kita; seperti waktu seseorang duduk di tepi kolam dan melihat ke dalam air bayangan wajahnya. Bayangan ini hanya suatu ilusi dan ada waktunya menakutkan apabila kita merenung dengan terlalu lama. Adakah manusia yang berani melihat ke dalam dirinya dengan terlalu lama? Dan kalau ya, apakah yang akan dilihatnya di situ? Hamlet menemui roh ayahnya. Raskolnikov menemui masa silamnya iaitu memori tentang seekor kuda yang dipukul hingga mati oleh sekumpulan kaki botol. Jeha menemui Lahuma. Don Quixote menemui Don Quixote. Le Fanu menemui sumber inspirasinya.

Le Fanu mempunyai rutin penulisan yang aneh. Sebelum tidur setiap malam dia akan minum secawan teh (tidak hairanlah salah satu ceritanya berjudul Green Tea), tidur selama dua jam dengan harapan akan dirasuk oleh mimpi aneh, kemudian bangun pada jam dua pagi untuk menulis, tidur semula, dan bangun untuk menulis lagi hingga ke tengah hari. Kita boleh membayangkan Freud dan Lovecraft melalui rutin yang hampir sama. Julio Cortazar dan J. G. Ballard turut menyebut mimpi sebagai antara sumber inspirasi mereka. Kafka menulis The Judgement dalam satu malam selepas bermimpi tentang ayahnya. Fernando Pessoa menghapuskan dirinya sama sekali melalui watak-watak alter-ego yang diciptanya. Le Fanu membawa roh-roh di alam mimpi ke dalam penulisannya.

No comments:

Post a Comment