Thursday 9 June 2016

Lukisan Mural oleh Pu Songling


(Terjemahan oleh Liang Hong)

Tuan Meng Longtan yang berasal dari Jiangxi, bersama-sama dengan Tuan Zhu, seorang cendekiawan yang mendapat gelaran juren merantau ke ibu negara. Pada suatu hari, secara kebetulan, mereka tiba di sebuah kuil agama Buddha, dan didapati mereka bangunan berserta asrama-asrama sami dari kuil itu tidak begitu besar, hanya ada seorang pendeta tua tinggal di situ. Apabila didapatinya ada tetamu datang menziarah pendeta itu pun mengemaskan jubahnya dan mengiringi mereka berdua itu bersiar-siar di pelbagai tempat dalam kuil itu. Di tengah-tengah ruang kuil terdapat sebuah patung Zen Tuan Baozhi dan pada kedua-dua belah dinding terdapat lukisan yang sangat menarik. Watak dalam lukisan itu kelihatan seperti hidup. Dalam lukisan mural pada dinding sebelah timur "sekumpulan dewi sedang menaburkan bunga-bungaan di syurga." Antara mereka ada seorang gadis jelita yang rambutnya terurai, tersenyum simpul dengan sekuntum bunga di dalam tangannya. Bibirnya yang merah bagaikan ceri itu seakan-akan bergerak, dan bola matanya yang menggenang seolah-olah sedang mengerling. Tuan Zhu menumpukan pandangannya kepada dewi itu dalam masa yang cukup lama, sehinggakan seluruh perhatiannya begitu tertarik kepadanya, dan dia berasa dirinya berada dalam keadaan terpukau. Sementara itu, dia berasa tubuhnya melayang-layang bagaikan terapung-apung dalam awang-awangan dan tiba-tiba dia berada di dalam lukisan dinding itu. 
 
Maka ternampak olehnya mahligai bertingkat-tingkat, dan ternyata tempat itu bukan lagi dunia insani. Kelihatan olehnya seorang pendeta tua beragama Buddha sedang bersyarah tentang Dharma di atas mimbar, dan ramai pendengar yang berjubah dengan mendedahkan sebelah bahunya mengelilinginya; maka Tuan Zhu pun menyusup ke tengah-tengah mereka itu.
 
Tidak lama kemudian, dirasainya ada orang secara diam-diam menarik lengan bajunya. Apabila dia memalingkan kepalanya, didapatinya gadis jelita yang rambutnya terurai tadi, melemparkan senyuman yang menawan. Gadis itu bergegas beredar dan Tuan Zhu pun mengekorinya tanpa berlengah-lengah lagi. Dengan mengikuti jalan yang berliku-liku, akhirnya wanita itu telah masuk ke dalam sebuah kamar kecil. Setibanya di situ Tuan Zhu berasa ragu dan tidak berani maju ke depan. Gadis itu pun memalingkan kepalanya, dan dari jauh melambai-lambaikan bunga dalam tangannya tanda mengajak datang; Tuan Zhu pun datang menghampirinya di dalam rumah yang sunyi senyap tiada orang. Maka Zhu pun memeluk si gadis dan perbuatannya itu tidak pun dielak olehnya; lalu bercumbu-cumbuanlah mereka. Selepas itu, wanita tersebut meninggalkan tempat itu dengan menutup pintu, dan sebelum itu ia berpesan kepada Zhu supaya duduk diam-diam. Pada sebelah malamnya, si gadis datang lagi dan perbuatan sedemikian itu berlarutan dua hari lamanya dan sudah pun diketahui oleh rakan-rakannya. Mereka datang mencari dan ditemuinya Zhu di tempat persembunyiannya.
 
Maka ketawalah mereka semua sambil berkata kepada si gadis itu: "Perut kau telah pun mempunyai bayi yang cukup besar, namun masih berambut terurai, berpura-pura macam anak gadis sunti!" Mereka lalu mengeluarkan cucuk sanggul dan anting-anting, dan mendesaknya supaya menyanggul rambutnya. Muka si gadis menjadi merah padam dan dia membungkam diri. Seorang daripada mereka pun berkata: "Jangan lama sangat saudaraku mununggu di sini, mungkin orang tidak menyenangi kita!" Dan pergilah mereka itu sambil ketawa terkekel-kekel.
 
Tuan Zhu mendapati gadis itu bertambah cantik dan lebih menarik setelah fesyen rambutnya diubah daripada fesyen yang asalnya terurai menjadi sanggul tinggi ibarat awan di langit dan ikal di kedua-dua belahnya itu melengkung laksana sepasang burung cenderawasih di bawah telinganya. Apabila dilihatnya tiada orang lain lagi di sekeliling, maka nafsu keberahian kedua-duanya pun semakin memuncak. Bau anggerik dan kasturi pada si gadis menusuk ke dalam sanubari Tuan Zhu, namun sebelum mengecapi sepenuh kepuasan, tiba-tiba terdengar oleh mereka bunyi derap langkah kasut but kulit, yang sangat kuat. Bunyi gemerincing rantai dan belenggu besi diikuti dengan suara bising pertelingkahan. Si gadis sangat terkejut, lalu bingkas bangun dan bersama-sama Zhu mengintai dari dalam bilik. Kelihatan oleh mereka seorang utusan yang berbaju zirah keemas-emasan, mukanya hitam ibarat cat, sebelah tangannya memegang sebuah penggodam atau senjata palu, dan sebelah menjinjing rantai, dan dikelilingi oleh rakan-rakan si gadis. Ujar utusan itu: "Kesemuanya sudah ada di sini? dan dijawab: "Semuanya sudah hadir." Utusan itu menambah: "Barang siapa yang menyembunyikan orang dari dunia insani, segeralah membuat pengakuan bersama, supaya jangan menyusahkan diri sendiri nanti!" maka dijawab oleh mereka itu: "Tidak ada." Kemudian, utusan itu memerhati ke sekelilingnya, seolah-olah akan bertindak untuk menggeledah. Maka bukan kepalang takutnya si gadis, sehingga mukanya menjadi pucat lesi, lalu terburu-buru dia berkata kepada Zhu: "Cepat, sembunyi di bawah katil itu." Dan sesudah itu, dia membuka daun pintu kecil di dinding dan melarikan diri. Zhu yang meniarap di bawah katil itu terpaksa menahan nafasnya, dan tidak lama kemudian, terdengar olehnya bunyi derap kasut masuk ke dalam biliknya dan keluar semula dari situ; tidak lama kemudian, hiruk-piruk di luar menjadi semakin reda. Tuan Zhu kembali tenang; namun percakapan tentang hal tadi daripada orang yang lalu-lalang di luar biliknya masih kedengaran. Setelah cukup lama Tuan Zhu meringkuk, maka dia keletihan, sehingga telinganya berdesing dan matanya berpinar-pinar dan sudah tidak tertahankan lagi. Dia hanya mendiamkan diri menunggu kepulangan si gadis. Dia sendiri tidak ingat lagi di mana dia berada  sebelum datang ke situ.
 
Pada ketika itu, Tuan Meng - rakan Zhu yang sedang berdiri di dalam kuil menyedari bahawa Zhu telah hilang dalam sekelip mata, lalu dia bertanya kepada pendeta tua itu dengan penuh keraguan. Sambil tersenyum pendeta itu berkata: "Dia telah pergi mendengar syarahan tentang hukum hakam di Dharma." Ditanya lagi ke mana perginya, jawabnya tidak jauh. Sejenak kemudian, pendeta tua itu mengetuk dinding dengan jarinya dan berseru: "Tuan Zhu, mengapa bersiar-siar begitu lama dan masih belum pulang?" Maka ternampak pada dinding itu gambar Zhu yang sedang berdiri dan memasang telinga seolah-olah sedang mendengar sesuatu di situ. Maka berseru lagi pendeta itu: "Rakanmu dah lama sangat menunggu!" Maka melayanglah dia turun dari dinding itu, fikirannya melayang dan kakinya menjejak bumi, dan dia berdiri terpacak bagaikan sebatang kayu di situ, matanya merenung ke depan, kakinya lembik tidak bertenaga. Keadaan itu membuatkan Tuan Meng sangat terperanjat dan ia bertanya kepada Zhu dengan perlahan-lahan. Maka diceritakannya bahawa ia masih meniarap di bawah katil, apabila terdengarnya bunyi ketukan yang kuat, lalu ia keluar dari bilik itu untuk melihat apa yang berlaku.
 
Selepas itu, mereka berdua sama-sama menyaksikan si gadis yang memegang sekuntum bunga dalam lukisan dinding itu kini telah bertukar fesyen rambutnya daripada yang tadinya terurai ke bawah menjadi sanggul fesyen pilin naik ke atas. Tuan Zhu sangat takjub, maka sambil memberi hormat, dia bertanya kepada pendeta tua itu mengapa berlaku demikian. Maka dijawab oleh pendeta itu sambil tersenyum: "Segala khayalan itu sebenarnya lahir dari fikiran. Bagaimanakah dapat aku menjelaskannya?" Setelah mendengar kata-kata itu, Tuan Zhu berasa kecewa dan sedih; manakala sahabatnya Tuan Meng juga berasa takut dan bingung. Akhirnya mereka berjalan keluar menuruni tangga di depan pintu kuil itu dan beredar dari situ.
    

No comments:

Post a Comment