Thursday 2 June 2016

Teori Permainan Game of Thrones

Ibu kota Westeros, King's Landing
 
Westeros ialah sebuah benua fantasi yang sangat mirip dengan Great Britain di zaman medieval. Setiap negeri diperintah oleh raja dan rakyat biasa ialah orang suruhan yang tertakluk  kepada daulat raja dan undang-undang di negeri tersebut. Ketika George R. Martin memulakan kisah Game of Thrones (GOT), Westeros sedang melalui tahun-tahun keamanan, dan tujuh negeri atau wilayah utama benua itu sedang diperintah oleh Raja Robert daripada Keluarga Baratheon. Keamanan ini tidak kekal lama. Penasihat (atau "tangan") kepada Raja Robert, iaitu John Arryn, telah mati diracun. Sebagai pengganti, Raja Robert melantik sahabat lamanya Eddard Stark daripada Keluarga Stark. Ini mencetuskan konspirasi dalaman di bandar ibu kota Westeros, King's Landing, sehingga akhirnya berlaku permusuhan antara Keluarga Stark dan Keluarga Lannister yang membawa kepada kejatuhan dinasti Keluarga Baratheon.
 
Ini hanya gambaran ringkas dunia GOT yang dicipta oleh George R. Martin. Namun kita sudah boleh nampak bahawa ini bukan sebarang cerita fantasi. Walaupun GOT masih mempunyai naga, hantu, dan kuasa sihir, tetapi pengarangnya telah membataskan peranan unsur magis kepada perjalanan cerita. Berbeza dengan Lord of the Rings, mekanisme utama GOT bukan pertentangan antara kuasa kebaikan dan kuasa kejahatan. Mekanisme utama GOT ialah permainan kuasa. Prinsip moral, kekuatan tentera, dan kemewahan bukan jaminan seseorang itu akan berkuasa di Westeros. Nak berkuasa dan menang di Westeros, anda harus terlebih dahulu tahu bagaimana untuk main Game of Thrones.
 
Saya selalu percaya hidup kita ialah siri permainan yang tidak pernah berakhir. Mula-mula kita lahir dalam sebuah keluarga dan sebagai bayi kita belajar untuk hidup dan menyesuaikan diri dengan permainan keluarga kita. Di padang bola, kita belajar permainan budak-budak di padang. Di sekolah, kita belajar permainan antara guru dan pelajar. Apabila kita meningkat dewasa, kita akan mula sedar  semua permainan tadi dikawal dan dipengaruhi oleh satu sistem permainan yang berkuasa. Kerajaan. Politik ialah cara sebuah kerajaan mengagihkan kuasa dan cara kerajaan mengawal pemain-pemain dalam permainannya. Sebagai rakyat, kita jarang dapat mempengaruhi keputusan kerajaan, kerana kita berada di pihak pengguna, bukan pencipta peraturan. Kalau dalam permainan bola sepak, kita boleh berhenti bermain pada bila-bila masa apabila kita bosan, atau apabila pengadil membuat keputusan berat sebelah. Tetapi permainan kehidupan ternyata jauh lebih rumit daripada keputusan kalah dan menang di padang bola. Kerap kalinya kita terpaksa main beberapa permainan secara serentak. Permainan kita sebagai warganegara; permainan kita sebagai pekerja; permainan kita sebagai majikan; permainan kita sebagai ibu bapa; permainan kita sebagai konsumer barang; permainan kita sebagai hamba Tuhan. Barangkali kematangan seseorang boleh diukur berdasarkan kecekapannya menguruskan diri dalam suatu permainan atau beberapa permainan. Namun adakah kecekapan dan kelincahan bermain mempunyai nilai yang sama dengan kebenaran? Tidak juga. Orang yang cekap bermain politik tidak semestinya seorang manusia yang baik. Dia hanya perlu tahu bagaimana untuk menang.      
 
Sebelum saya kembali kepada GOT, saya ingin memperkenalkan teori permainan James P. Carse dalam bukunya berjudul Finite and Infinite Games. Premis Carse sangat mudah:
 
"Dalam hidup ini ada dua jenis permainan. Satu dipanggil finiti; satu lagi dipanggil infiniti. Permainan finiti dimain dengan tujuan untuk menang, sementara permainan infiniti dimain dengan tujuan untuk terus bermain."      
 
Carse mengulas teori ini dengan panjang lebar. Jadi saya akan buka sedikit demi sedikit teori Carse sambil membincangkan permainan kuasa dalam GOT. Terlebih dahulu mari kita lihat permainan finiti. Kalau kita bermain untuk menang, maksudnya kita mesti ada peraturan jelas, kerana tanpa peraturan kita tidak akan tahu siapa pemenang akhirnya. Di manakah ia berlaku? Bila ia bermula dan bila ia akan berakhir? Langgar atau setia pada peraturan, itu cerita lain. Di sebuah pejabat, seorang pekerja melanggar peraturan dengan menggoda majikannya, tetapi dia tetap menang apabila dia mendapat kenaikan pangkat bulan berikutnya. GOT mempunyai beberapa tokoh penting yang bermain untuk menang. Antaranya adalah Tywin Lannister, Robb Stark, Stannis Baratheon, Roose Bolton, Daenerys Targaryen. Saya nak fokus kepada Stannis dahulu.
 
Stannis Baratheon
 
Stannis adalah saudara kepada Robert Baratheon dan pewaris tulen kepada takhtanya. Di permulaan GOT, kita melihat Raja Robert mempunyai dua orang anak lelaki daripada perkahwinannya dengan Cersei Lannister. Namun kemudian kita mendapat tahu kedua-dua anak itu sebenarnya lahir hasil hubungan incest antara Cersei dengan saudara kembarnya Jaime Lannister. Apabila Raja Robert mangkat, anak sulung Cersei diangkat ke kerusi kuasa kerana semua orang masih percaya Joffrey adalah anak kepada Robert. Stannis mengetahui rahsia sebenar melalui surat yang dikirim oleh Eddard Stark. Lalu Stannis pun mengumpulkan tentera untuk merampas takhta daripada Joffrey.
 
Stannis digambarkan oleh George R. Martin sebagai seorang yang serius, tegas, dan taksub kepada keadilan. Dia hidup menyendiri di kubu Dragonstone dan tidak ambil peduli tentang situasi politik di King's Landing. Selain itu Stannis juga seorang panglima tentera yang cekap dan mempunyai askar-askar yang berdisiplin dan sangat setia kepadanya. Stannis mengingatkan saya kepada Macbeth. Seperti Macbeth, Stannis menerima ramalan sihir yang dia akan menegakkan keadilan dan menjadi raja suatu hari nanti. Dan seperti Macbeth, Stannis bersedia melanggar etika peperangan dan membunuh sesiapa sahaja untuk menang.
 
Permainan Stannis bermula apabila dia memberontak dengan Joffrey dan ia akan berakhir apabila dia menjadi raja. Matlamat Stannis jelas, tetapi dia ingin menang tanpa berkompromi dengan sistem permainan kuasa di Westeros. Di mata Stannis, hidup ini hanya ada dua jenis pemain: mereka yang berkuasa dan mereka yang patut kepada penguasa. Berbeza dengan Tywin Lannister, Stannis enggan bermain politik dengan sesiapa pun. Dia percaya hipokrasi adalah nanah yang sedang merosakkan Westeros dan adalah menjadi takdirnya untuk menghapuskan nanah itu.
 
Akan tetapi angan-angan Stannis tidak praktikal kerana tidak ada sesiapa boleh menang dalam sebuah permainan seorang diri. Sebab itu kehadiran Ser Davos Seaworth sebagai penasihat Stannis sangat tepat. Davos bukan seorang bangsawan dan tidak mempunyai sebarang cita-cita melainkan untuk berkhidmat kepada Stannis. Davos mempunyai pengalaman sebagai penyeludup barang dan dia telah merantau ke pelbagai kota pelabuhan di Westeros. Davos faham segala muslihat dan kehendak orang-orang biasa untuk menjadi kaya dan hidup senang. Davos faham bahawa budaya hidup ialah permainan infiniti. Budaya tidak ada sempadan. Sesiapa sahaja boleh keluar dan masuk.
 
Carse telah menulis: "Masyarakat adalah manifestasi kekuasaan. Ia ibarat sebuah teater dengan susunan skrip yang jelas." Namun apabila ada pihak menyimpang daripada skrip asal, masyarakat akan menyesuaikan diri, dan mengubah skrip asal. Sejarah hanya batu loncatan ke petak seterusnya. Ini masalah Stannis dalam GOT. Dia percaya skrip permainan ialah takdir yang pasti berlaku. Sejarah tidak akan pernah membuat penyimpangan. Stannis pernah menewaskan angkatan laut besi Keluarga Greyjoy ketika Robert masih berkuasa. Tetapi sejarah sama tidak berulang di Blackwater apabila angkatan laut Stannis ditewaskan dengan mudahnya oleh tipu helah Tyrion Lannister. Ser Davos ialah seorang penasihat yang bagus, tetapi tidak ada kata-kata emas di seluruh Westeros yang boleh mengubah Stannis daripda pendiriannya. Dia ingin menang dan disebabkan itu akhirnya dia kalah.
 
Saya akan berkomentar lagi tentang GOT apabila ada masa.
 
 
             

No comments:

Post a Comment